LATEST

Trio SSMT EC SMURF A buru gelaran kedua

Trio SSMT EC SMURF A buru gelaran kedua

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Zi Yu-Noraqilah cipta sejarah mara ke separuh akhir

Kuala Terengganu: Belum puas meraikan kejayaan di Jakarta, tiga tonggak muda SSMT EC SMURF A kini mengintai satu lagi gelaran apabila bertekad menguasai gelanggang sendiri pada saingan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Timur.

Lebih membanggakan, kejayaan menjuarai Kejohanan Kepala Dinas di Jakarta, Indonesia, minggu lalu menjadi pembakar semangat buat trio berusia 16 tahun itu untuk membuktikan mereka bukan sekadar jaguh di luar gelanggang sendiri.

Bermodalkan keserasian yang dibina sejak empat tahun lalu, Mohamad Izzul Naqib Mohd Rosdi (apit kanan), Mohamad Raqieb Aiman Mohd Razie (tekong) dan Muhammad Syazrul Aieriel Suparman (apit kiri) kini memasang impian untuk mengulangi kejayaan di hadapan penyokong sendiri.

Malah, kejayaan menewaskan pasukan SSBJ dengan keputusan 2-1 pada kejohanan di Jakarta itu membuktikan gandingan berkenaan memiliki kemampuan untuk bersaing dan mencabar pasukan terbaik.

Bagi mereka, kejohanan kali ini bukan sekadar medan memburu kejuaraan, sebaliknya peluang terbaik menguji kemampuan selain mengintai laluan untuk menyarung jersi kebangsaan pada masa depan.

Saingan anjuran bersama Harian Metro yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, bermula hari ini hingga esok itu bagaimanapun sengit dengan penyertaan 48 regu yang turut membawa misi masing-masing.

Izzul berkata, dia mahu terus memperbaiki prestasi dan menjadikan setiap kejohanan sebagai peluang menimba pengalaman untuk melangkah lebih jauh dalam sukan sepak takraw.

“Idola saya ialah Azlan Alias dan saya berharap dapat terus meningkatkan prestasi serta berusaha mencapai impian bergelar pemain kebangsaan,” katanya.

Sementara itu, Raqieb yang menggalas tanggungjawab sebagai tekong menjadikan pemain kebangsaan, Haziq Nizam sebagai sumber inspirasi untuk meningkatkan mutu servis serta kawalan permainan.

Bagi Aieriel pula, keserasian yang terjalin bersama dua rakannya sejak empat tahun lalu menjadi kelebihan utama yang mahu terus dipertahankan.

“Idola saya ialah Aidil Aiman. Kami sudah lama bermain bersama dan saya berharap regu ini tidak dipisahkan kerana masing-masing sudah memahami corak permainan rakan sepasukan,” katanya.

Menurut trio itu, kejayaan mereka bukan hadir dengan mudah, sebaliknya hasil tunjuk ajar dan bimbingan dua jurulatih, Mohd Faisal Muhamad serta Muhammad Zulhilmi yang sentiasa mencurahkan ilmu bagi memantapkan permainan mereka.

Bagi tiga pemain muda itu, kejayaan di Jakarta hanyalah permulaan dan mereka kini mahu menjadikan saingan di laman sendiri sebagai satu lagi pentas membuktikan kemampuan sebelum memasang sasaran lebih besar untuk menyarung jersi kebangsaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news