harisfadli@hmetro.com.my
Baca juga: Indonesia akan dapatkan penjelasan Google berhubung penamatan saluran YouTube
Klang: Seramai 519 pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas menerusi operasi bersepadu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di seluruh negara dalam tempoh tiga hari sejak Rabu lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, mereka ditahan selepas pihaknya memeriksa 1,702 individu membabitkan 34 premis kilang.
Katanya, operasi berkenaan turut disertai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta pihak berkuasa berkaitan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada pelbagai warganegara antaranya Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal dan China.
“Selain itu, JIM turut mengeluarkan 42 borang saman saksi kepada majikan serta pemilik premis bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Meru, di sini, hari ini.
Mengulas statistik penguatkuasaan sepanjang tahun ini, Lokman Effendi berkata, JIM sudah melaksanakan sebanyak 12,471 operasi membabitkan pemeriksaan ke atas 161,748 individu sejak Januari hingga hari ini.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 46,426 individu disyaki PATI ditahan menerusi operasi JIM.
Menurutnya, selain itu, kira-kira 28,000 lagi adalah tahanan serahan agensi lain, manakala 52,743 individu sudah diusir serta disenaraihitamkan dalam tempoh sama.
“Sebanyak 12,471 operasi dalam tempoh 322 hari ini bermakna secara purata lebih 37 operasi dilaksanakan setiap hari.
“Jika dibahagikan kepada 24 jam, lebih tiga operasi dijalankan setiap dua jam.
“Ini bermakna tiada jam berlalu tanpa operasi, serbuan dan tangkapan,” katanya.
Beliau berkata, rekod operasi, tangkapan serta pendakwaan terhadap majikan setakat tahun ini sudah melepasi keseluruhan angka tahun lalu, sekali gus membuktikan komitmen berterusan JIM dalam membanteras isu PATI.
Beliau berkata, JIM memandang serius sebarang pelanggaran undang-undang membabitkan warga asing dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak, termasuk rakyat tempatan yang melindungi PATI.
© New Straits Times Press (M) Bhd