KLANG: Seramai 519 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan menerusi operasi bersepadu Jabatan Imigresen di seluruh negara dalam tempoh tiga hari sejak Rabu lalu.
Baca juga: Kerja kelab malam tanpa pas sah, 3 warga asing didenda RM5,000 hingga RM10,000
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, mereka ditahan selepas pemeriksaan dilakukan terhadap 1,702 individu membabitkan 34 premis kilang.
Katanya, operasi turut disertai Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) serta pihak berkuasa berkaitan.
“Mereka ditahan terdiri pelbagai warganegara, antaranya Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal dan China.
“Imigresen turut mengeluarkan 42 borang saman saksi kepada majikan serta pemilik premis bagi membantu siasatan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di Meru, di sini, hari ini.
Mengulas statistik penguatkuasaan sepanjang tahun ini, Lokman Effendi berkata, pihaknya melaksanakan 12,471 operasi membabitkan pemeriksaan ke atas 161,748 individu sejak Januari.
Daripada jumlah itu, 46,426 individu disyaki PATI ditahan menerusi operasi JIM.
Selain itu, kira-kira 28,000 lagi adalah tahanan serahan agensi lain, manakala 52,743 individu sudah diusir serta disenaraihitamkan dalam tempoh sama.
“Sebanyak 12,471 operasi dalam tempoh 322 hari ini bermakna secara purata lebih 37 operasi dilaksanakan setiap hari.
“Jika dibahagikan kepada 24 jam, lebih tiga operasi dijalankan setiap dua jam.
“Ini bermakna tiada jam berlalu tanpa operasi, serbuan dan tangkapan,” katanya.
Beliau berkata, rekod operasi, tangkapan serta pendakwaan terhadap majikan setakat tahun ini sudah melepasi keseluruhan angka tahun lalu, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam membanteras isu PATI.
© New Straits Times Press (M) Bhd