LATEST

Komodo ekori budak balik sekolah, gigit kaki lelaki

Komodo ekori budak balik sekolah, gigit kaki lelaki

Jakarta: Seekor biawak komodo memasuki sebuah rumah di Pulau Rinca, Indonesia, dan menggigit kaki seorang lelaki berusia 48 tahun, menurut laporan media tempatan pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Baca juga: 24 ADUN BN-PN Negeri Sembilan sepakat patuhi arahan pimpinan

Lelaki itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun doktor masih menilai sama ada dia memerlukan rawatan lanjut selain pembersihan luka dan pemberian antibiotik, menurut seorang pegawai Pihak Berkuasa Taman Negara Komodo, Julizar Riduan.

Reptilia itu dipercayai mengekori anak perempuan lelaki berkenaan yang berusia 10 tahun masuk ke dalam rumah ketika pulang dari sekolah pada Khamis, sebelum menggigit bapanya ketika lelaki itu sedang berehat, menurut laman berita Kompas.com.

Serangan itu berlaku walaupun pihak berkuasa taman negara terus berusaha menghalang biawak komodo daripada memasuki kawasan penempatan penduduk.

Pagar keselamatan mula dipasang di kampung berkenaan pada 2021, menurut Julizar seperti yang dipetik oleh Kompas.com.

“Pegawai tidak dapat ditempatkan di lokasi pagar sepanjang masa,” katanya.

Komodo adalah spesies cicak hidup terbesar di dunia, dengan panjang boleh mencapai kira-kira tiga meter dan berat sehingga 70 kilogram.

Rahangnya yang kuat, gigi tajam serta gigitan berbisa menjadikan pertembungan dengan manusia berbahaya.

Reptilia itu adalah spesies asli di beberapa pulau di Indonesia, termasuk Komodo, Rinca dan Flores.

Spesies berkenaan diklasifikasikan sebagai terancam oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news