LENGGONG: Lebih 620 pelajar, guru dan kakitangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad di sini bakal menikmati kemudahan pengajaran dan pembelajaran digital dinaik taraf menerusi program Sekolah Angkat MADANI kerajaan.
Kerja menaik taraf dilaksanakan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) itu merangkumi penambahbaikan bilik guru serta penyediaan ruang khas pembelajaran digital.
Baca juga: Zi Yu-Noraqilah cipta sejarah mara ke separuh akhir
Bilik Guru dan Bilik Digital yang sudah dinaik taraf itu dirasmikan hari ini oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hari ini.
Projek berkenaan memberi manfaat kepada 554 pelajar, 58 guru dan sembilan kakitangan sokongan.
Saarani berkata, beliau menyambut baik inisiatif itu dan kerjasama antara kerajaan dengan sektor korporat amat penting dalam meningkatkan kemudahan pendidikan.
“Bagi pihak kerajaan negeri Perak, saya ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas usaha memperkenalkan Program Sekolah Angkat MADANI, sebuah inisiatif yang menggembleng kerjasama antara kerajaan dan sektor korporat bagi menyokong pembangunan pendidikan di seluruh negara.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada MRCB atas sumbangan mereka dalam menaik taraf kemudahan di SMK Dato’ Ahmad.
“Penambahbaikan ini menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik serta kondusif buat guru dan pelajar, sekali gus menjadi langkah penting dalam usaha berterusan kami untuk meningkatkan kualiti pendidikan di seluruh negeri Perak,” katanya.
Bilik guru dinaik taraf kini dilengkapi ruang kerja lebih baik, ruang khusus untuk perbincangan dan mesyuarat, perabot baharu, penyaman udara serta penambahbaikan sistem pencahayaan dan kelengkapan elektrik, sekali gus menyediakan persekitaran kerja yang lebih selesa dan praktikal untuk guru.
Selain itu, ruang yang sebelum ini digunakan sebagai bilik jahitan dan surau sementara diubah suai menjadi Bilik Digital yang dilengkapi televisyen pintar interaktif serta studio audio siar dengan kemudahan kamera, pencahayaan, sistem audio dan peralatan rakaman.
Kemudahan ini menyokong pembelajaran interaktif, di samping memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan literasi digital, kreativiti, kemahiran komunikasi serta kemahiran mencipta kandungan digital.
Pengarah Urusan Kumpulan MRCB, Datuk Imran Salim berkata, inisiatif itu mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong komuniti di kawasan operasinya.
“Seiring kerjasama erat bersama kerajaan negeri Perak dalam projek pembangunan utama seperti Ipoh Sentral, kami turut memberi keutamaan yang sama kepada usaha menyumbang kembali kepada masyarakat di kawasan operasi kami.
“Di SMK Dato’ Ahmad, kami berpeluang menyumbang bukan sahaja melalui sumber yang dimiliki, malah melalui kemahiran dan kepakaran warga kerja kami.
“Pasukan kejuruteraan dan pengurusan projek kami sendiri dibabitkan bagi memastikan penambahbaikan yang dilaksanakan memenuhi keperluan sekolah.
“Kami berharap kemudahan ini dapat terus memberi manfaat kepada guru dan pelajar untuk jangka masa panjang,” katanya.
SMK Dato’ Ahmad adalah satu daripada lima sekolah dijadikan sekolah angkat oleh MRCB di bawah Program Sekolah Angkat MADANI, merangkumi dua sekolah menengah dan tiga sekolah rendah di Perak, Pulau Pinang dan Perlis.
Sumbangan memberi tumpuan kepada keperluan khusus setiap sekolah, daripada penambahbaikan infrastruktur hinggalah kepada usaha meningkatkan akses kepada sumber pembelajaran digital.
Diterajui Kementerian Kewangan, Program Sekolah Angkat MADANI adalah inisiatif nasional yang menghimpunkan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan sektor swasta bagi menyokong pembangunan pendidikan di seluruh negara.
Susulan penyertaan 1,000 sekolah di bawah Fasa 1.0, program ini menyasarkan peluasan penyertaan kepada 1,500 sekolah di bawah Fasa 2.0.
© New Straits Times Press (M) Bhd