MANCHESTER: Mauricio Pochettino berikrar membina semula Manchester United dari awal dan menggesa pemainnya melupakan sejarah silam yang dibelenggu pelbagai masalah menjelang tugasan getir menentang Liverpool, Ahad ini.
Baca juga: Lebih 520 pelajar, guru nikmati kemudahan hasil naik taraf SMK Dato’ Ahmad
Pengendali dari Argentina itu dilantik selepas permulaan sukar United musim ini yang membawa kepada pemecatan Michael Carrick.
Pada sidang media pertamanya sebagai pengurus, hari ini, Pochettino tampil dengan nada optimis sambil menegaskan tumpuannya adalah untuk membentuk identiti baharu pasukan, bukannya terus mengenang kegagalan lalu.
“Kami hadir dengan hasrat untuk membina sesuatu dari awal, berdasarkan idea dan falsafah sendiri serta cara kerja yang kami percayai,” kata Pochettino.
“Ini mengenai usaha membentuk pendekatan dan identiti sendiri di sini. Masa lalu tidak akan membantu kita jika terus memikirkan apa yang berlaku semalam.
“Kami merasakan sokongan yang diberikan dan akan bekerja keras untuk membantu pemain mempamerkan prestasi terbaik. Itulah keutamaan kami.”
Ketika ditanya mengenai sasaran awalnya, beliau tersenyum sebelum menjawab: “Tidur.”
Bagaimanapun, peluangnya untuk berehat mungkin tidak banyak apabila United bakal bertandang ke Anfield bagi menghadapi Liverpool.
Perlawanan itu memberikan gambaran awal mengenai besarnya cabaran yang perlu digalas Pochettino dalam usaha menghidupkan semula pasukan yang keyakinan pemainnya terhakis akibat keputusan mengecewakan.
United kini menghuni tangga ke-18 liga, sekali gus mencatat permulaan terburuk mereka dalam kempen liga divisyen tertinggi sejak 40 tahun lalu.
“Situasi itu perkara biasa apabila anda gagal memenangi perlawanan kerana keyakinan pemain mula merosot,” katanya.
“Saya fikir pemain perlu merasakan bahawa kami percaya dan yakin terhadap kemampuan mereka.
“Melihat kepada jadual perlawanan yang menanti, kami perlu menetapkan prinsip permainan sendiri. Pemain kami bijak dan mempunyai kualiti. Ada kalanya, kita hanya perlu membuka potensi tertentu yang sebelum ini tidak terserlah atas pelbagai sebab.”
© New Straits Times Press (M) Bhd