LATEST

Hormati urusan pentadbiran negeri, sensitiviti umat Islam – Dr Zulkifli

Hormati urusan pentadbiran negeri, sensitiviti umat Islam – Dr Zulkifli

nurul_husna@mediaprima.com.my

​Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong digesa supaya menghormati urusan pentadbiran sesebuah negeri serta sensitiviti umat Islam berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan pada waktu solat Jumaat.

Baca juga: Tipu pakej perkahwinan: Polis cari Nurul Afza bantu siasatan

​Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Khoo yang mempertikaikan arahan berkenaan, termasuk membabitkan rangkaian kedai serbaneka.

​Beliau menjelaskan pelaksanaan peraturan itu adalah di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai asas perundangan jelas.

​”Perkara ini urusan pentadbiran negeri dan PBT yang mempunyai asas perundangan menerusi enakmen negeri serta mandat rakyat tempatan, seperti di Terengganu, selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook malam ini.

Zulkifli menegaskan kewajipan menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan jual beli bagi lelaki Muslim apabila tiba waktunya adalah tuntutan agama yang jelas berlandaskan Surah al-Jumu’ah ayat 9, dan bukan sekadar satu amalan budaya.

​Katanya, peraturan yang dikuatkuasakan oleh PBT berkenaan bertujuan memelihara kewajipan ibadah selain memberi ruang kepada pekerja dan pelanggan beragama Islam menunaikan solat Jumaat tanpa sebarang kekangan.

​Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan semua pemimpin supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan demi memelihara keharmonian negara.

​”Dalam membina masyarakat majmuk yang harmoni, setiap pemimpin perlu cermat dan saling menghormati batas amalan agama masing-masing agar ia tidak dijadikan bahan polemik atau pertikaian politik,” katanya.

Terdahulu Khoo mempertikai larangan aktiviti perniagaan atau hiburan pada waktu solat Jumaat yang dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news