harisfadli@hmetro.com.my
Baca juga: 519 PATI dicekup dalam operasi 3 hari
Klang: Sebuah kilang membuat produk paku bagi jenama antarabangsa di sekitar Lorong Keledang 9, Meru, di sini, disyaki menggajikan 71 pekerja disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kegiatan syarikat berkenaan terbongkar selepas premis terbabit diserbu menerusi Ops Sasar oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya bersama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Selangor, hari ini.
Wartawan yang mengikuti serbuan pada jam 6 petang mendapati keadaan di kilang terbabit bukan sahaja belecak dan licin, malah dipenuhi habuk serta berbau seperti bahan kimia sehingga membuat tekak sakit dan hidung kurang selesa walaupun baru sekejap berada di premis itu.
Tinjauan mendapati pekerja juga tidak memakai pakaian perlindungan diri dan peralatan keselamatan seperti topi, sarung tangan atau cermin mata.
Malah, ada antara mereka yang diselaputi debu hitam pada seluruh badan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, seramai 131 individu diperiksa dalam serbuan itu, yang mana 71 warga asing disyaki PATI ditahan bagi tindakan lanjut.
“Semua yang ditahan adalah lelaki terdiri daripada seorang warga Taiwan, Bangladesh (51) dan Nepal (19).
“Antara kesalahan ialah tinggal lebih masa, salah guna pas dan tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu di sini, hari ini.
Hadir sama dalam serbuan itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Putrajaya, Datuk Basri Othman.
Lokman Effendi berkata, semua tangkapan akan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Sementara itu, jurucakap JTKSM berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) selain Seksyen 63A Akta Kerja 1955.
© New Straits Times Press (M) Bhd