KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong digesa menghormati urusan pentadbiran sesebuah negeri serta sensitiviti umat Islam berhubung arahan penutupan sementara premis perniagaan pada waktu solat Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Hasan berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan Poay Tiong yang mempertikaikan arahan berkenaan, termasuk membabitkan rangkaian kedai serbaneka.
Baca juga: Pengorbanan abang jaga adik autisme berakhir tragis dalam kebakaran di Tawau
Beliau menjelaskan pelaksanaan peraturan itu adalah di bawah bidang kuasa pentadbiran negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai asas perundangan jelas.
”Perkara ini urusan pentadbiran negeri dan PBT yang mempunyai asas perundangan menerusi enakmen negeri serta mandat rakyat tempatan, seperti di Terengganu, selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.
Zulkifli menegaskan kewajipan menunaikan solat Jumaat dan meninggalkan urusan jual beli bagi lelaki Muslim apabila tiba waktunya adalah tuntutan agama yang jelas berlandaskan Surah al-Jumu’ah ayat 9, dan bukan sekadar satu amalan budaya.
Katanya, peraturan dikuatkuasakan oleh PBT berkenaan bertujuan memelihara kewajipan ibadah selain memberi ruang kepada pekerja dan pelanggan beragama Islam menunaikan solat Jumaat tanpa sebarang kekangan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemimpin lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan demi memelihara keharmonian negara.
”Dalam membina masyarakat majmuk yang harmoni, setiap pemimpin perlu cermat dan saling menghormati batas amalan agama masing-masing agar ia tidak dijadikan bahan polemik atau pertikaian politik,” katanya.
Terdahulu Poay Tiong mempertikai larangan aktiviti perniagaan atau hiburan pada waktu solat Jumaat yang dikuatkuasakan oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).
The post Menteri Agama ingatkan MP Kota Melaka hormati urusan pentadbiran negeri, sensitiviti umat Islam appeared first on Utusan Malaysia.