Putrajaya : Bagi merancakkan lagi ekonomi pelancongan negara sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027), Tourism Malaysia memeterai kerjasama strategik bersama penyedia perkhidmatan wang elektronik (e-Money) dan perniagaan perkhidmatan wang (MSB) berlesen, Merchantrade Asia Sdn. Bhd. (Merchantrade) menerusi pelancaran Kad Prabayar Visa Merchantrade Money Visit Malaysia rasmi.
Majlis pelancaran dan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) itu disempurnakan oleh Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim bersama Pengasas merangkap Pengarah Urusan Merchantrade, Ramasamy K Veeran, sambil disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia.
Baca juga: Badan diselaputi debu hitam, 71 PATI ditahan dalam serbuan kilang paku jenama antarabangsa
Inisiatif bersepadu itu menampilkan reka bentuk kad beridentitikan ikonik Visit Malaysia yang dilengkapi fungsi dompet elektronik pelbagai mata wang rentas sempadan serta integrasi pembayaran DuitNow QR di seluruh negara bagi memudahkan urusan transaksi tanpa tunai pelancong.
Selain menyokong penuh rangkaian global VISA, pembayaran tanpa sentuh menerusi Google Wallet dan Samsung Wallet serta akses mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan deposit tunai (CDM) Visa seluruh dunia, pemegang kad turut menikmati pelbagai diskaun serta keistimewaan di rangkaian peniaga rakan kerjasama Tourism Malaysia merangkumi hotel, pusat beli-belah, pengangkutan, makanan dan minuman (F&B) serta tarikan pelancongan.
Pelancong antarabangsa boleh mendaftar dan mendapatkan kad berkenaan sebaik tiba di Malaysia menerusi rangkaian cawangan Merchantrade termasuk di Pavilion KL, The Gardens Mid Valley Mall dan Imago Mall di Sabah, selain dipromosikan secara meluas melalui 29 pejabat Tourism Malaysia di luar negara seperti di London, Dubai, Seoul, Osaka, Sydney dan Jeddah.
Bukan sahaja menyasarkan pelawat asing, kemudahan pembayaran digital itu turut menyokong kempen pelancongan domestik Cuti-Cuti Malaysia bagi membantu pengembara tempatan menguruskan perbelanjaan percutian dalam negara dengan lebih efisien.
Mohd Amirul Rizal berkata, sinergi rentas sektor antara kerajaan dan pihak swasta adalah pemangkin utama dalam memperkukuh daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia serta memacu pertumbuhan industri secara mampan.
“Kerjasama kami dengan Merchantrade membuktikan bagaimana perkongsian rentas sektor mampu mewujudkan nilai tambah kepada pelawat, perniagaan dan keseluruhan ekosistem ekonomi pelancongan, selaras dengan aspirasi kempen Visit Malaysia 2026–2027,” katanya.
Sementara itu, Ramasamy berkata, usaha menghubungkan pelancong yang tiba ke negara ini dengan premis perniagaan tempatan secara lancar menjadi fokus utama syarikatnya sebagai rakan teknologi kewangan negara.
“Dengan menyediakan kemudahan pembayaran daripada tunai kepada digital serta pengalaman perjalanan yang lebih lancar, kami memberikan keyakinan kepada pelawat dari seluruh dunia untuk berbelanja di premis tempatan, merangkumi aktiviti membeli-belah hingga ke pelbagai tarikan pelancongan menarik,” ujarnya.
Untuk rekod, Malaysia mencatatkan sebanyak 32.3 juta ketibaan pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September 2026, meningkat 2.4 peratus berbanding 31.5 juta ketibaan dalam tempoh sama tahun lalu.
Maklumat lanjut mengenai pendaftaran kad, keistimewaan serta rangkaian peniaga terlibat boleh didapati menerusi aplikasi Merchantrade Money atau layari laman sesawang www.merchantrademoney.com/visitmalaysia2027/.
© New Straits Times Press (M) Bhd