LATEST

Penampilan ‘kekuatan’ penyanyi negara jiran diserlahkan

Penampilan ‘kekuatan’ penyanyi negara jiran diserlahkan

puterialia@hmetro.com.my

Baca juga: Tourism Malaysia, Merchantrade perkenal kad e-dompet pelbagai mata wang VM2026–2027

SIAPA sangka, buat kali pertama penganjuran Ruang Nyaman Fest 2026 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, baru-baru ini berjaya menjadi tempat paling ‘nyaman’ buat ribuan pengunjung meluahkan apa yang terbuku di hati.

Dihadiri sekitar 3,000 pengunjung, acara ini melakar malam penutup yang luar biasa dan cukup memukau menerusi persembahan bertenaga daripada barisan artis terkemuka Indonesia dan tanah air.

Lebih mencuri perhatian, meskipun ada yang hadir seawal jam 2 petang, penonton setia menunggu sehingga malam demi menyaksikan penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan beraksi di atas pentas.

Meskipun sudah beberapa kali bertandang ke Malaysia, kehadiran Cakra tetap menjadi antara yang paling dinanti-nantikan pengunjung.

“Malam minggu biasanya disamakan dengan hal-hal penuh dengan keindahan, selayaknya yang boleh diingat untuk hari Isnin nanti. Terima kasih sudah kekal sampai akhir di Ruang Nyaman Fest 2026 ini,” kata Cakra yang turut menjadi penutup malam Ruang Nyaman Fest 2026.

Cakra mempersembahkan rangkaian lagu popularnya seperti Adalah Aku, Kepada Hati, Kekasih Bayangan, Broken Symphony, Setelah Kau Tiada, Harus Terpisah serta Hal Hebat (nyanyian asal Govinda).

Dalam pada itu, persembahan yang paling mencuri tumpuan sudah tentu menjadi milik penyanyi Indonesia, Tulus.

“Saya harap anda semua terhibur, semoga semua gembira. Kalau hafal lagunya, nyanyilah bersama-sama.

“Mudah-mudahan anda semua jatuh hati dan ingin mendengarkan lagi,” kata Tulus sebelum mempersembahkan lagu yang mencipta fenomena di Malaysia iaitu Teh Hijau.

Tulus sambil menyapa penonton dengan mesra di bahagian kiri dan kanan pentas, turut mempersembahkan lagu Satu Kali, Sewindu, Ruang Sendiri, Monokrom, 17, Hati-Hati Di Jalan, Interaksi dan Jatuh Suka.

Tidak kurang hebatnya, penyanyi dan bekas vokalis kumpulan Kerispatih, Sammy Simorangkir yang berjaya menggamit kenangan zaman muda penonton menerusi deretan lagu jiwang yang menjadi ‘lagu wajib’ karaoke.

“Buat diri anda senyaman mungkin seperti tajuk kita, Ruang Nyaman. Masih banyak lagi yang akan saya ajak rakan-rakan untuk bernostalgia. Kita berada di ruang nyaman, jadi nyaman sahaja kita seperti di rumah,” kata Sammy yang mendendangkan beberapa lagu seperti Tapi Bukan Aku, Cinta Putih, Kaulah Segalanya, Bila Rasaku Ini Rasamu, Demi Cinta dan Dia.

Menjadi satu-satunya penyanyi tempatan yang beraksi pada acara berkenaan, Najmi Niery tidak dapat menyembunyikan rasa terharu atas peluang besar yang diberikan kepadanya.

“Saya merupakan seorang penyanyi baharu, satu-satunya artis tempatan yang beraksi di Ruang Nyaman Fest 2026 ini. Terima kasih semua kerana sudi hadir,” katanya sebelum mempersembahkan lagu Mahakarya Cinta nyanyian asal Faizal Tahir.

Najmi turut mempersembahkan beberapa karya seperti Hari Tua, Dekati, Tentang Dirimu, Medley (Sebentar dan Memori Singkat) serta Asing.

Penyanyi indie popular Indonesia, Idgitaf turut menjadikan hari berkenaan sebagai momen bermakna dalam kerjayanya apabila tampil mengadakan persembahan sulung di Malaysia.

“Ini kali pertama saya tampil di Malaysia dan pertama kali saya membawakan seluruh lagu-lagu saya untuk dinyanyikan di Malaysia. Terima kasih atas sokongannya.

“Saya dapat melihat betapa penyayangnya anda dan semoga saya dapat memberikan yang terbaik untuk anda semua,” katanya yang kali kedua datang ke negara ini.

Dalam persembahan sarat emosi itu, Idgitaf turut mendendangkan karya popular seperti Satu-Satu, Mengudara, Takut, Berusaha Di Bawah Hujan, Mendung dan Sedia Aku Sebelum Hujan.

Turut membuat kemunculan pertama di Malaysia ialah penyanyi R&B Indonesia, Kaleb J yang mempersembahkan beberapa karya seperti Gerilya, Berakhir Sama, Syalala, Now I Know, Di Sebalik Pertanda, Kebutuhan Hati dan It’s Only Me.

“Ini adalah persembahan pertama saya di Kuala Lumpur. Saya menantikan detik ini sudah bertahun-tahun kerana lagunya sudah sampai ke sini, tetapi akhirnya pada tahun ini saya baru sampai ke Malaysia,” katanya yang turut menghadiahkan anak patung beruang kepada penonton.

Kemunculan penyanyi Indonesia yang juga bekas anggota Payung Teduh, Pusakata menjadi pelengkap yang cukup sempurna buat Ruang Nyaman Fest 2026.

“Kebahagiaan dan rasa terharu saya berlipat ganda kerana ini kali kedua saya membuat persembahan di Malaysia. Terima kasih sekali lagi kepada Ruang Nyaman Fest 2026.

“Semoga kebahagiaan dan kesihatan berpihak kepada yang hadir. Semoga berjumpa lagi dalam kesempatan lebih membahagiakan,” katanya yang mempersembahkan lagu Akad, Kehabisan Kata, Angin Pujaan Hujan, Di Atas Meja, Ruang Tunggu dan Untuk Perempuan.

Ruang Nyaman Fest 2026 anjuran Thrive Events yang diasaskan Haqimi Zamri bukan sekadar sebuah konsert biasa, malah ia adalah terapi jiwa yang berkesan buat pengunjung melupakan seketika tekanan dalam kehidupan.

Alunan melodi yang tenang, lirik yang dekat dengan realiti kehidupan serta persembahan bertenaga daripada barisan penyanyi berjaya meninggalkan kesan mendalam di hati pengunjung.

Meskipun terdapat kekurangan, pilihan barisan artis yang memukau, kehangatan dan keintiman dengan peminat sepanjang konsert ini nyata membuktikan ia wajar dijadikan sebagai acara tahunan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news