SHENZHEN (China): Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kagum dengan minat yang ditunjukkan Presiden China, Xi Jinping terhadap konsep Malaysia MADANI serta kerjasama dalam memahami peradaban Islam dan Konfusianisme.
Baca juga: 3 hari operasi, 519 PATI ditahan, 34 premis kilang diperiksa – Imigresen
Beliau berkata, perkara itu antara aspek menarik dalam pertemuan dua hala dengan Xi hari ini kerana ia mencerminkan keterbukaan China untuk memahami pandangan Malaysia mengenai konsep Madani serta kerjasama peradaban.
“Saya agak tertarik dengan ini, jarang berlaku dalam hubungan dua hala apabila kita melihat seorang presiden negara besar meneliti pandangan kita tentang MADANI dan juga kerjasama peradaban,” katanya kepada media Malaysia selepas pertemuan dengan Xi di Qilin Villa State Guest House di sini, hari ini.
Anwar berkata, Xi sebelum ini turut menyatakan hasrat untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang berkenaan, termasuk melalui perbincangan, kajian dan usaha meningkatkan persefahaman antara peradaban Islam dan Konfusianisme.
Beliau berkata, Malaysia akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam usaha itu, termasuk menerusi universiti dan institusi pendidikan, bagi memperluas kajian serta pemahaman mengenai peradaban Islam, budaya China dan peradaban lain.
Menurut Perdana Menteri, kerjasama berkenaan merupakan sesuatu jarang berlaku, khususnya apabila sebuah negara bukan Islam yang besar menunjukkan kesediaan untuk menghormati pandangan Malaysia dan meneruskan usaha memahami peradaban Islam.
Anwar berkata, inisiatif itu turut boleh diperkukuh melalui kerjasama pendidikan, pertukaran akademik serta peningkatan sektor pelancongan antara kedua-dua negara.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan penting dalam memperkukuh persefahaman, saling menghormati serta hubungan antara masyarakat berlainan budaya dan agama.
-BERNAMA
© New Straits Times Press (M) Bhd