London: Ketua Pegawai Eksekutif Manchester United, Omar Berrada mempertahankan kekerapan pertukaran pengurus dan strategi perpindahan pemain kelab itu sambil menegaskan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan tetap komited terhadap kestabilan jangka panjang meskipun sudah melalui tiga pengurus tetap dalam tempoh kurang tiga musim.
Baca juga: Presiden China berminat terhadap konsep Malaysia MADANI – PM Anwar
Pengurus baharu, Mauricio Pochettino yang dilantik selepas Michael Carrick dipecat awal bulan ini, bakal mengendalikan perlawanan pertamanya menentang Liverpool, awal pagi Isnin ini.
Bagaimanapun, persoalan masih timbul sama ada masalah yang membelenggu United berpunca daripada kelemahan di bangku simpanan semata-mata.
Carrick menjadi pengurus tetap ketujuh yang dipecat United sejak Alex Ferguson bersara selepas menghadiahkan kejuaraan liga ke-20 kelab itu pada 2013.
Beliau juga pengurus ketiga yang disingkirkan sejak Jim Ratcliffe menjadi pemilik saham minoriti kelab itu pada 2024.
“Jika melihat kepada hakikat bahawa kami sudah mempunyai tiga pengurus tetap dalam tempoh kurang tiga musim, jelas kami masih belum mencapai kestabilan yang diinginkan.
“Terdapat pelbagai faktor mengapa kerjasama bersama Erik (ten Hag), Ruben (Amorim) dan kini Michael tidak menjadi seperti diharapkan.
“Kami sentiasa belajar, berusaha memperbaiki keadaan dan memahami apa yang tidak menjadi,” kata Berrada kepada Sky Sports.
Barisan pengurusan United turut berdepan kritikan berhubung strategi pengambilan pemain apabila penyokong mempersoalkan perancangan membentuk skuad selepas kelab itu membelanjakan kira-kira £150 juta (RM807 juta) untuk mendapatkan tiga pemain tengah pada jendela perpindahan musim panas.
Namun, beberapa kelemahan utama masih gagal ditangani, khususnya di posisi bek kiri apabila United tidak mendapatkan pemain tambahan untuk meningkatkan persaingan meskipun Luke Shaw yang berusia 31 tahun mempunyai rekod kecederaan dan kelab itu bersaing dalam empat kejohanan.
Berrada bagaimanapun mempertahankan pendekatan kelab dengan menegaskan United akan terus membuat pelaburan apabila muncul peluang yang sesuai, tetapi tidak akan terburu-buru berbelanja besar.
“Kami sebenarnya berpuas hati dengan pemain yang sudah dibeli. Kami perlu kekal berdisiplin. Kami perlu mendapatkan pemain yang tepat, pada nilai sesuai dan pada masa yang tepat.
“Tiada gunanya kami membelanjakan £40 juta (RM215 juta) atau £50 juta (RM269 juta) untuk pemain yang kami sendiri tidak yakin mampu memberikan nilai tambah kepada pasukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd