LATEST

FFM35 jadi bukti kebangkitan sinema Malaysia

FFM35 jadi bukti kebangkitan sinema Malaysia

wanasr@hmetro.com.my

Baca juga: Liverpool terima berita positif menjelang kunjungan United

Kuala Lumpur : Bukan sekadar pentas mengiktiraf kecemerlangan penggiat seni penganjuran Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) menjadi bukti kebangkitan industri perfileman tanah air yang semakin matang dari sudut kualiti penerbitan, kekuatan penceritaan serta prestasi kutipan tiket di pawagam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, landskap perfileman negara kini berada di landasan sangat memberangsangkan apabila lebih 10 filem tempatan berjaya merekodkan kutipan melebihi RM10 juta sepanjang tahun ini, sekali gus mencapai sasaran ditetapkan pada awal tahun.

“Alhamdulillah, industri filem dan televisyen negara semakin berkembang, bukan sahaja dari segi kualiti pembikinan, malah kekuatan penceritaan dan mutu lakonan. Jika dahulu hanya dua atau tiga filem setahun mampu mencatat kutipan melebihi RM10 juta, tahun ini kita berjaya mencapai sasaran lebih 10 filem.

“Pencapaian ini membuktikan karya tempatan semakin berkualiti, diterima penonton dan mempunyai potensi besar untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, lonjakan kualiti naskhah bertanding kali ini turut diakui barisan juri FFM35 yang berdepan tugas sukar memilih pemenang terbaik ekoran persaingan sengit, selain sambutan hangat karya tempatan di platform penstriman global membuktikan nilai komersial produk Malaysia merentas sempadan.

Azmir berkata, FINAS juga berhasrat menjadikan FFM sebagai acara tahunan berimpak tinggi menyatukan warga industri dan masyarakat, apabila sambutan luar biasa penggiat seni termasuk mereka yang tidak tercalon dalam kelompok lima terbaik memperlihatkan semangat kebersamaan yang utuh.

“Kita mahu FFM menjadi medan seluruh penggiat industri meraikan kejayaan rakan seperjuangan, selain mendekatkan masyarakat dengan perkembangan perfileman negara.

“Sebagai dorongan kepada penghasilan karya yang lebih cemerlang, pemenang Filem Terbaik FFM35 turut menerima dana RM1 juta untuk membantu mereka meneruskan usaha menghasilkan filem berkualiti,” jelasnya.

Bagi memastikan karya tempatan terus menembusi pasaran global, FINAS akan terus memperkasakan program Market Access menerusi penyertaan delegasi negara ke pasaran kandungan terkemuka dunia seperti MIPCOM di Cannes, Hong Kong FILMART, Festival Filem Animasi Antarabangsa Annecy di Perancis, Asia TV Forum & Market (ATF) di Singapura serta JAFF Market di Yogyakarta, Indonesia.

Selain memperkukuh kerjasama strategik bersama platform penstriman seperti Netflix, iQIYI, Viu serta Kementerian Luar Negeri menerusi kedutaan Malaysia di luar negara, FINAS juga bakal mengumumkan inisiatif baharu bersama Indonesia termasuk program Malay Script Lab bagi pembangunan skrip dan penerbitan bersama, di samping menggerakkan jaringan serantau menerusi Asian Film Alliance Network (AFAN) dan SeaShorts.

Dalam usaha memperkukuh kredibiliti dan ketelusan penganjuran, FINAS buat julung kalinya memperkenalkan sistem penjurian baharu pada FFM35 dengan mengekalkan lapan juri profesional bersama pembabitan tambahan 50 juri industri terdiri daripada bekas pemenang FFM dan pensyarah universiti.

Jelas Azmir, proses pemarkahan dilaksanakan secara dalam talian dengan identiti setiap juri industri dirahsiakan antara satu sama lain termasuk kepada juri profesional bagi mengelakkan sebarang pengaruh kepentingan tertentu.

“Di peringkat awal, terdapat beberapa persoalan daripada juri profesional mengenai kaedah pemarkahan dan proses perbincangan. Bagaimanapun, selepas keseluruhan proses selesai, mereka sendiri terkejut apabila mendapati keputusan 50 juri industri adalah selari dengan penilaian juri profesional.

“Ini membuktikan pendekatan baharu tersebut mampu memperkukuh ketelusan dan memastikan keputusan tidak bergantung kepada pertimbangan individu semata-mata,” ujarnya.

Mengulas tema Spektrum Sinema, Azmir memaklumkan pemilihan tema berkenaan tepat dalam menterjemahkan kepelbagaian budaya, bahasa dan genre sinema Malaysia apabila lima calon Filem Terbaik FFM35 kali ini merangkumi karya berbahasa Melayu, Mandarin dan Tamil merentasi genre aksi, komedi, seram serta naskhah festival.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news