TURIN: Carlos Alcaraz tidak menunjukkan sebarang tanda terganggu dengan kemungkinan masalah kecederaan hamstring apabila mudah menewaskan Flavio Cobolli 6-4, 6-1 pada Final ATP, awal pagi tadi, sekali gus menempah pertemuan separuh akhir dengan Ben Shelton.
Baca juga: Pochettino tekad bina semula United
Pemain Russia, Daniil Medvedev kemudian menewaskan wakil Amerika Syarikat, Frances Tiafoe 6-3, 6-4 untuk meraih slot terakhir ke separuh akhir dan bakal berdepan pemain nombor satu dunia, Alexander Zverev, esok.
Pilihan ketiga, Alcaraz menjalani imbasan MRI pada Khamis susulan masalah kecederaan paha, namun tidak menunjukkan tanda terganggu dengan balutan tebal pada kaki kirinya ketika menyingkirkan pemain nombor enam dunia itu dalam tempoh lebih sejam di Turin.
Dengan tiga kemenangan daripada tiga perlawanan dalam Kumpulan Ivan Lendl, Alcaraz muncul juara kumpulan dan akan menentang pemain Amerika Syarikat, Shelton, esok dalam ulangan final Masters Paris awal bulan ini.
Alcaraz menewaskan Shelton 7-6 (7/5), 7-5 pada final di Perancis untuk meraih gelaran itu buat kali pertama, sekali gus membalas dendam terhadap pemain Amerika berkenaan yang menamatkan cabarannya mempertahankan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) pada awal musim ini.
“Cabaran sekarang bukan di gelanggang, sebaliknya di luar gelanggang.
“Saya akan melakukan segala-galanya untuk berada dalam keadaan fizikal lebih baik dan bersedia esok. Saya akan menjalani tempoh separuh hari yang sangat penting bersama pasukan dan ahli fisioterapi saya.
“Kita lihat nanti, tetapi saya fikir saya melakukan perkara yang baik. Saya berasa sangat selesa di gelanggang hari ini,” kata pemain Sepanyol berusia 23 tahun itu.
Medvedev mara ke separuh akhir Final ATP buat kali keempat dan pertama sejak tahun 2023.
Medvedev dan Tiafoe masing-masing menewaskan Cobolli tetapi tewas kepada Alcaraz dalam Kumpulan Ivan Lendl awal minggu ini, sekali gus menjadikan pertembungan mereka sebagai aksi penentuan.
Kesilapan pukulan kilas slice pada set pertama membolehkan Medvedev memperoleh kelebihan penting menerusi break servis, sebelum Tiafoe sekali lagi kehilangan servis ketika kedudukan 4-4 pada set kedua.
Tiafoe menyelamatkan tiga mata break dalam permainan kesembilan, namun pilihan ketujuh itu gagal menghalang Medvedev yang menamatkan perlawanan menerusi servisnya untuk mencatat kemenangan ke-54 musim ini.
Pilihan keempat, Medvedev kini memburu gelaran kelima musim ini dan kejuaraan kedua Final ATP selepas memenanginya pada tahun 2020.
Alcaraz tidak tewas dalam perlawanan sejak tersingkir pada pusingan 32 terakhir Masters Shanghai pada awal Oktober, dan keyakinan serta prestasi cemerlang itu jelas terserlah apabila dia mematahkan servis pemain Itali, Cobolli pada permainan pertama perlawanan.
Juara tujuh gelaran Grand Slam itu kemudian menamatkan set pertama menerusi servisnya sebelum sekali lagi mematahkan servis pemain berusia 24 tahun itu pada permainan pertama set kedua untuk melakar kemenangan mudah.
© New Straits Times Press (M) Bhd