SABTU lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berdialog dengan pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Cawangan Latihan Khidmat Negara 515, Kuala Lumpur.
Baca juga: Vietnam hapus hukuman mati 6 kesalahan termasuk edar dadah, rogol bawah umur 16 tahun
Dalam program Temu Anwar Bersama Wira Muda Negara, beliau mengundang pelatih mengemukakan soalan, pandangan dan teguran secara langsung.
Sebagai seorang belia, penulis melihat kesediaan itu sebagai satu bentuk pendidikan kewarganegaraan. Apabila pelatih diberi peluang bertanya kepada pemimpin negara, mereka dapat melihat bagaimana sesuatu keputusan dijelaskan dan bagaimana pemimpin menjawab persoalan dibangkitkan generasi muda.
Pembukaan dialog itu mengaitkan pembinaan negara dengan pengalaman penjajahan dan kemerdekaan. Sambil merujuk gagasan komuniti terbayang Benedict Anderson, Perdana Menteri mengajak pelatih memikirkan bagaimana masyarakat berbeza kaum, agama dan wilayah dapat membina identiti kebangsaan bersama.
Beliau menekankan kefahaman terhadap Perlembagaan Persekutuan, kedudukan bahasa Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-raja Melayu serta kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.
Dalam masyarakat majmuk, pengetahuan mengenai asas Perlembagaan perlu disertai kesediaan menghormati jiran dan rakan yang berbeza pegangan. Di kem latihan, prinsip itu boleh diamalkan melalui kehidupan dan tugasan bersama.
Perdana Menteri turut membezakan maklumat, pengetahuan dan kebijaksanaan dengan merujuk kepada T S Eliot. Perbezaan itu dekat dengan pengalaman mahasiswa.
Sesuatu dakwaan boleh tersebar luas di media sosial sebelum sumbernya sempat diperiksa. Pengetahuan menuntut kita menyemak bukti dan konteks manakala kebijaksanaan membabitkan pertimbangan kesan tindakan kita terhadap orang lain.
Rujukan kepada Ibn Khaldun pula menghubungkan perpaduan dengan daya tahan negara. Perdana Menteri mengingatkan bahawa rasuah yang diterima sebagai kebiasaan boleh merosakkan institusi.
Dalam konteks PLKN, disiplin mempunyai nilai sivik apabila pelatih turut belajar mempersoalkan penyalahgunaan kuasa dan memikul tanggungjawab terhadap keputusan sendiri.
Soalan seorang pelatih mengenai pengalaman paling sukar dalam kepemimpinan membawa perbincangan kepada soal amanah.
Perdana Menteri mengalihkan perhatian daripada ujian peribadinya kepada keluarga yang sukar menyediakan makanan, susu dan pakaian sekolah untuk anak.
Beliau kemudian menyentuh pembaikan tandas sekolah, bantuan kepada keluarga berpendapatan rendah dan keperluan mendapatkan penilaian teknikal dalam perolehan pertahanan.
Contoh ini memperlihatkan dilema apabila kerajaan perlu memilih keutamaan dengan sumber terhad dan pilihannya boleh dinilai melalui kesan terhadap kehidupan rakyat serta proses digunakan untuk membelanjakan wang awam.
Ada yang bertanya cabaran melahirkan lebih ramai pemimpin wanita dalam bidang keselamatan dan pertahanan. Perdana Menteri mengakui ruang untuk wanita perlu dibuka dan menyambut keyakinan pelatih itu menyatakan minat menyertai Tentera Darat.
Soalan berkenaan menuntut jawapan institusi lebih khusus. Peluang kepemimpinan boleh dinilai melalui akses kepada latihan, kriteria pemilihan dan laluan kenaikan pangkat.
Keberanian seorang pelatih menyatakan cita-citanya di hadapan Perdana Menteri menjadi lebih bermakna apabila institusi menyediakan peluang dapat diakses calon memenuhi syarat.
Pertanyaan mengenai isu dan perang di Gaza, konflik dan persediaan belia membawa dialog kepada keselamatan negara.
Kuasai kemahiran digital
Perdana Menteri menyentuh mengenai ancaman siber, kepentingan kesiapsiagaan pertahanan dan peranan diplomasi.
Beliau menjelaskan Malaysia perlu mengurus hubungan dengan Amerika Syarikat (AS) dan China sambil mempertahankan kepentingan sendiri, termasuk melalui rundingan mengenai pertikaian maritim.
Bagi mahasiswa, perbincangan ini menunjukkan mengapa isu antarabangsa memerlukan pertimbangan serentak terhadap prinsip kemanusiaan, keselamatan dan kesan ekonomi.
Persediaan belia boleh bermula dengan menguasai kemahiran digital dan membiasakan diri menilai berita tentang konflik berdasarkan sumber yang boleh disemak.
Seorang pelatih wanita membangkitkan peranan belia, khususnya wanita muda, bagi mempertahankan kedaulatan dan kestabilan.
Perdana Menteri mengaitkan tindakan belia dengan keyakinan, ilmu dan akhlak. Ungkapan beliau, ‘menggapai di langit, mengakar di bumi’, merangkumi tuntutan menguasai teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) sambil memelihara tanggungjawab terhadap masyarakat.
Bagi mahasiswa, pendekatan ini boleh diterjemahkan melalui cara menggunakan teknologi dalam tugasan dan perbincangan kampus.
Kita perlu menyemak dapatan, menyatakan sumber dan mempertimbangkan kesan terhadap masyarakat apabila mencadangkan sesuatu dasar. Kebolehan teknikal mendapat nilai apabila digunakan dengan pertimbangan bertanggungjawab.
Bahagian paling dekat dengan kehidupan kampus ialah kesediaan Perdana Menteri menerima kritikan, termasuk kritikan terhadap dirinya.
Beliau menyatakan hasrat membawa ke Parlimen cadangan memansuhkan peraturan menyekat kebebasan mahasiswa bersuara. Beliau turut membezakan teguran terhadap pemimpin daripada ancaman keganasan.
Sebagai mahasiswa, kita perlu tahu sama ada boleh mengemukakan kritikan, meminta penjelasan dan menganjurkan perbincangan tanpa bimbang dikenakan tindakan hanya kerana berbeza pandangan.
Kebebasan itu juga menuntut ketelitian menggunakan bukti dan kesediaan mendengar jawapan. Kesediaan Perdana Menteri berdialog dengan golongan muda dalam program ini, wajar dihargai.
Penulis ialah Mahasiswa di Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, UUM
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH
© New Straits Times Press (M) Bhd