Kota Bharu: Polis Thailand mematahkan cubaan sindiket dadah rentas negara menyeludup 750 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira 300 juta baht (RM36.3 juta) ke Malaysia selepas merampas dadah itu di wilayah Nakhon Si Thammarat, kira-kira 150 kilometer (km) ke utara Hat Yai, Rabu lalu.
Baca juga: Akmal Saleh Bidas Khoo Isu Tutup Premis Ketika Solat Jumaat
Dalam operasi kira-kira jam 1.45 pagi (waktu Thailand) polis menahan dua lelaki berusia 31 dan 40 tahun selepas memintas sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk membawa bekalan dadah berkenaan.
Jurucakap keselamatan Thailand berkata, pihak berkuasa menerima maklumat mengenai pergerakan sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut dadah dari utara ke wilayah selatan negara itu.
Katanya, Bahagian Polis Kawalan Sempadan 44 yang ditugaskan menjalankan siasatan dan mengumpul risikan mendapati lori berkenaan bergerak dari wilayah Songkhla ke daerah Chiang Saen di Chiang Rai pada 9 November lalu untuk mengambil bekalan dadah sebelum menuju semula ke selatan pada Rabu lalu.
“Pasukan operasi bekerjasama dengan polis daerah Chulabhorn untuk mengadakan sekatan jalan raya sebelum memintas lori itu jam 1.45 pagi Rabu lalu.
“Pemeriksaan rapi mendapati lantai lori berkenaan telah diubah suai menjadi struktur dua lapisan, dengan ruang tersembunyi digunakan untuk menyembunyikan syabu.
“Kira-kira 750kg syabu ditemukan disembunyikan di bawah panel lantai lori itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jurucakap itu berkata, dadah berkenaan dibungkus menggunakan pembalut yang memaparkan jenama teh tradisional Cina popular yang turut dijual secara meluas di Malaysia.
Beliau berkata, kedua-dua suspek mengaku membawa syabu berkenaan dari wilayah Chiang Rai ke daerah Hat Yai sebelum diseludup masuk ke Malaysia.
“Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan Hat Yai di wilayah Songkhla sebagai lokasi transit, manakala Malaysia menjadi destinasi akhir.
“Siasatan mendapati kedua-dua suspek adalah anggota sindiket dadah rentas negara yang terbabit dalam kegiatan menyeludup syabu dari kawasan pesisir pantai di Chiang Saen, Chiang Rai, ke selatan Thailand,” katanya.
Katanya, kedua-dua suspek turut mengaku pernah melakukan beberapa penghantaran dadah sebelum ini dan menerima bayaran sebanyak satu juta baht (RM121,000) bagi setiap perjalanan.
© New Straits Times Press (M) Bhd