LATEST
National

CONMEBOL pula sebulat suara sokong Infantino

CONMEBOL pula sebulat suara sokong Infantino

BARRANQUILLA, Colombia: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino mendapat sokongan sebulat suara daripada Konfederasi Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) untuk mempertahankan jawatan presiden badan induk bola sepak dunia itu, menurut kenyataan blok 10 negara berkenaan, awal pagi tadi.

Baca juga: Alcaraz, Medvedev mara ke separuh akhir Final ATP

Infantino sebelum ini berdepan kritikan susulan cadangannya yang gagal untuk membenarkan pelaburan swasta dalam Piala Dunia, namun beliau masih mendapat sokongan daripada negara-negara Afrika dan Asia bagi menghadapi pemilihan semula pada Mac depan.

Setiap negara mempunyai satu undi daripada keseluruhan 211 ahli FIFA dan calon yang menang perlu memperoleh sekurang-kurangnya 106 undi dalam pemilihan yang dijadual berlangsung pada 18 Mac di Rabat, Maghribi.

CONMEBOL mempunyai 10 undi, manakala Afrika memiliki 54 undi dan Asia sebanyak 46 undi.

Kenyataan sokongan CONMEBOL itu dibuat di Barranquilla menjelang aksi final Copa Sudamericana antara Atletico Mineiro dari Brazil dan Boca Juniors dari Argentina, esok.

CONMEBOL berkata pihaknya menghargai “kepimpinan presiden FIFA ketika ini” serta “transformasi positif dalam bola sepak” yang dilaksanakan Infantino sejak mengambil alih jawatan itu pada tahun 2016.

Selepas menjadi calon tunggal pada pemilihan tahun 2019 dan 2023, Infantino kali ini berdepan dua pencabar yang sudah mengisytiharkan hasrat bertanding – Philippe Diallo dari Perancis dan Kozo Tashima dari Jepun.

Infantino sebelum ini turut berdepan kritikan berhubung penambahan jumlah pasukan bertanding dalam Piala Dunia, pemberian Anugerah Keamanan FIFA kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump serta keputusannya membatalkan kad merah yang dilayangkan kepada pemain Amerika Syarikat dalam kejohanan itu atas permintaan Trump.

Justeru, Infantino kini berdepan tekanan hebat buat kali pertama, terutama susulan reaksi UEFA terhadap cadangan membawa masuk pelabur swasta yang akhirnya memaksanya menarik balik rancangan berkenaan.

Presiden UEFA, Aleksander Ceferin memberikan sokongan penuh kepada Diallo, manakala Tashima berikrar untuk memulihkan “integriti” badan induk bola sepak dunia itu.

Tashima yang juga anggota Majlis FIFA menegaskan hasratnya untuk mengembalikan kepercayaan terhadap badan itu, selain menjadikan ketelusan dan integriti sebagai teras utama kempennya.

Beliau berkata keputusan untuk bertanding dibuat selepas berang dengan tindakan mengejut FIFA menarik balik penggantungan terhadap pemain Amerika Syarikat, Folarin Balogun.

Pada Oktober lalu, FIFA mengesahkan hasrat untuk menubuhkan dana pembangunan bernilai AS$6.35 bilion (RM26 bilion) bagi tempoh empat tahun akan datang.

Dana itu membolehkan peruntukan kewangan disalurkan kepada kesemua 211 persatuan ahli FIFA serta konfederasi serantau susulan kejayaan komersial Piala Dunia 2026.

Menerusi rancangan itu, setiap persatuan ahli FIFA berpeluang menerima peruntukan sebanyak AS$25 juta (RM102 juta).

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news