LATEST

Nafuzi tangisi peledak tumpul

Nafuzi tangisi peledak tumpul

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Azmin Ali hadir Konvensyen Nasional Amanah, perwakilan beri sorakan

Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain kecewa apabila hasrat pasukannya untuk menamatkan kemarau kemenangan sekali lagi tidak kesampaian selepas tewas 2-1 kepada DPMM FC dalam aksi Liga Super, semalam.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Penyu terus gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk meraih tiga mata penting bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga.

Nafuzi berkata, kemenangan menjadi sasaran utama pasukannya kerana menyedari kedudukan TFC ketika ini memerlukan keputusan positif untuk kembali bersaing.

Menurutnya, pemain memulakan perlawanan dengan baik, namun kegagalan menyudahkan peluang menjadi antara faktor utama pasukan terpaksa menerima kekalahan.

“Kita memang mengharapkan kemenangan, tetapi kecewa kerana usaha untuk mendapatkan tiga mata tidak berhasil walaupun pemain sudah memberikan yang terbaik,” kata Nafuzi ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak selepas tamat perlawanan.

Beliau berkata, rentak permainan pasukan sedikit terjejas selepas terpaksa mengeluarkan Habib Haroon dan Haziq Kutty Abba yang mengalami masalah kecederaan.

Katanya, ketiadaan beberapa pemain termasuk dua penyerang, Romel Morales dan Gervane Kastaneer turut mengehadkan pilihan untuk melakukan pertukaran, sekali gus memaksanya menggunakan pemain muda.

Mengulas kelemahan pasukan, Nafuzi mengakui aspek penyudah dan tumpuan ketika bertahan masih perlu diperbaiki bagi mengelakkan kesilapan yang merugikan.

“Kita mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol, tetapi gagal memanfaatkannya sebelum lawan menghukum kita dengan peluang yang mereka miliki,” katanya.

Menurutnya, TFC lebih tersusun pada babak pertama, namun perubahan terpaksa dilakukan selepas dua pemain mengalami kecederaan sehingga sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan.

Pada babak kedua, TFC cuba meningkatkan tempo permainan dengan memasukkan pemain yang lebih kepada serangan bagi memburu gol, namun gagal.

“Pasukan perlu melakukan lebih banyak penambahbaikan dan bekerja lebih keras lagi bagi memastikan TFC mampu bangkit daripada situasi sukar ini,” tambahnya.

Pada perlawanan itu, penyerang lawan, Dalberto muncul watak pemusnah selepas meledak dua gol manakala gol saguhati TFC hasil sepakan penalti Victor Ruiz.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news