KUALA LUMPUR: “Bacaan tekanan darah baba (ayah) drop (turun) 48/34. Sekarang baba kena masuk CCU (Unit Rawatan Koronari/Jantung) semula,” kata anak Ali XPDC, Wan Aliuddin Aqiel atau Aqiel memaklumkan status terkini ayahnya.
Baca juga: Akmal Saleh Bidas Khoo Isu Tutup Premis Ketika Solat Jumaat
Pada masa sama, Aqiel turut meminta maaf kerana tidak mahu menerima sebarang pelawat pada masa sekarang.
“Buat masa ini, ayah perlu berehat sepenuhnya dan kami sekeluarga mohon maaf kerana tidak dapat menerima sebarang lawatan atau ziarah buat sementara waktu.
“Ini bagi memastikan ayah mendapat rehat secukupnya sebagai persediaan untuk prosedur angiogram yang akan dilakukan nanti.
“Mohon semua faham dan terus titipkan doa agar jantung ayah kembali kuat, segala urusan rawatan dipermudahkan dan ayah diberikan kesembuhan,” katanya.
Terdahulu Ali atau nama sebenarnya, Mohd Ali Ismail, 58, sepatutnya menjalani prosedur angiogram di Institut Jantung Negara (IJN) tengahari semalam.
Bagaimanapun Aqiel memaklumkan prosedur ini terpaksa ditangguhkan kepada tarikh lain berikutan keadaan kesihatan ayahnya yang tidak mengizinkan.
“Keadaan jantung ayah masih lemah dan belum cukup stabil untuk menjalani prosedur tersebut.
Buat masa ini, pihak doktor akan terus memantau keadaan ayah.
“Insya-Allah, angiogram mungkin akan dilakukan pada esok (hari ini) bergantung kepada keadaan kesihatan ayah,” katanya.
Ali dikejarkan ke IJN oleh rakannya, Ejay Da’ie sejak Rabu lalu berikutan keadaan kesihatannya yang lemah dan merosot.
Ejay yang juga usahawan memaklumkan kesihatan Ali merosot sejak tiga hingga empat hari lalu serta mengalami sesak nafas.
Dia turut memaklumkan Ali perlu melakukan pembedahan jantung segera dengan kos yang agak tinggi dan memohon sumbangan orang ramai untuk menampung kos rawatan itu menerusi media sosialnya.
Kutipan dana untuk pembedahan yang dianggarkan sekitar RM60,000 hingga RM70,000 itu juga sudah mencukupi dan ia kini ditutup sepenuhnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd