LATEST

‘Rakyat mahu penyelesaian masalah harian, bukan sekadar janji politik’

‘Rakyat mahu penyelesaian masalah harian, bukan sekadar janji politik’

farahmarshita@bh.com.my

Baca juga: 2 pekerja maut disedut pusaran air dalam kolam takungan

Kuala Lumpur: Wanita MCA menyeru kesepakatan dan kerjasama jentera Wanita Barisan Nasional (BN) diperkukuh melalui perancangan dan strategi baharu bagi membawa perubahan positif kepada rakyat.

Ketua Wanitanya, Datuk Wong You Fong, menegaskan jentera Wanita BN bukan sekadar penyokong perjuangan, tetapi juga pemimpin dan penggerak perubahan.

Katanya, melalui kerjasama yang erat, Wanita BN mampu menjadi jambatan perpaduan antara parti komponen dan masyarakat pelbagai kaum.

“Wanita BN mesti menjadi penggerak dasar, pembina kepemimpinan dan penyumbang penting kepada masa depan politik gabungan kita.

“Oleh itu, saya menyeru supaya kerjasama antara Wanita UMNO, Wanita MCA, Wanita MIC, Wanita PBRS dan Wanita PPP terus diperkukuh melalui program bersama dalam bidang pembangunan wanita, keusahawanan, pendidikan, kebajikan keluarga dan khidmat masyarakat,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung Wanita MCA Kebangsaan 2026 di Wisma MCA di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon; Setiausaha Agung Wanita UMNO, Datuk Rosni Sohar; Timbalan Ketua Wanita MIC, Dr P Thanaletchumy dan Setiausaha Wanita MIC, Anita Kumari Abdullah.

You Fong berkata, kemenangan BN di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka membuka lembaran baharu kepada gabungan berkenaan.

Katanya, kejayaan itu perlu dijadikan sebagai dorongan untuk memperkukuh perpaduan, meningkatkan kerjasama dan berkhidmat dengan lebih gigih kepada rakyat.

“Bagi pihak Wanita MCA Kebangsaan, saya ingin menegaskan komitmen kami untuk terus bekerjasama dengan Wanita daripada semua parti komponen BN.

“Kita mungkin datang daripada parti yang berbeza, tetapi kita berkongsi satu matlamat yang sama iaitu berkhidmat kepada rakyat dan membina masa depan Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah gabungan politik yang berpengalaman, BN perlu terus memperjuangkan dasar yang praktikal dan berkesan bagi membantu rakyat.

“BN perlu memberikan tumpuan kepada pembangunan ekonomi, peluang pendidikan yang adil, perlindungan wanita dan kanak-kanak, kebajikan warga emas serta keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Rakyat tidak hanya mahu mendengar janji politik. Mereka mahu melihat penyelesaian kepada masalah kehidupan seharian.

“Oleh itu, semua parti komponen BN harus memperkukuh kerjasama untuk mengenal pasti masalah rakyat dan mengemukakan cadangan dasar yang membina,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news