am@hmetro.com.my
Baca juga: Fahmi hargai sumbangan warga industri televisyen
Bangi: Pernah menyangka hidupnya tidak akan panjang selepas disahkan menghidap kanser tulang ketika berusia 18 tahun, Amirul Syahmi Kamarudin, akhirnya berjaya menggenggam segulung ijazah walaupun terpaksa meneruskan kehidupan dengan kaki palsu.
Lebih manis, segala keperitan dilaluinya sepanjang hampir sedekad lalu berbaloi apabila graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu menerima Anugerah Tengku Ampuan Afzan bagi kategori orang kurang upaya (OKU) Cemerlang sempena Istiadat Konvokesyen Ke-54 UKM, hari ini.
Amirul Syahmi, 28, yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.30 berkata, kehidupannya berubah selepas disahkan menghidap kanser tulang ketika mengikuti pengajian diploma di Politeknik Mersing, Johor antara 2017 hingga 2018.
Katanya, ketika menerima berita itu dia hanya memikirkan kematian, malah ibu bapanya turut hilang arah sebelum nasihat orang sekeliling dan pakar memberikan mereka harapan bahawa penyakit berkenaan masih berpeluang untuk dirawat.
“Sepanjang menjalani rawatan, saya perlu melalui enam sesi kemoterapi dan pembedahan pada kaki.
“Doktor pada mulanya melakukan pembedahan dengan menggunakan tulang kecil sebagai sokongan serta memasang plat besi, namun kanser datang semula.
“Ketika diploma, saya terpaksa melanjutkan tempoh pengajian kerana perlu menjalani rawatan. Ada juga pelajar yang mengata saya sehingga membuatkan saya sedih tetapi saya cuba tidak mengendahkan kata-kata mereka,” katanya.
Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, sokongan ibu bapa, keluarga, rakan dan pensyarah membantunya meneruskan pengajian diploma sebelum menyambung pengajian ijazah di UKM selepas berehat kira-kira setahun.
“Cabaran utama ketika belajar di UKM ialah pergerakan kerana kebanyakan kawasan berbukit dan banyak tangga.
“Saya menggunakan kaki palsu, jadi tidak boleh berjalan laju atau berlari.
“Walaupun sukar, saya tetap perlu pergi ke kelas kerana itu tanggungjawab saya sebagai pelajar,” katanya.
Amirul Syahmi yang kini bekerja sebagai pentadbir di sebuah syarikat multinasional di Johor Bahru itu bercadang menyambung pengajian sarjana di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pasir Gudang.
Dia turut menitipkan pesanan kepada OKU lain supaya tidak berputus asa dalam mengejar impian masing-masing.
“Saya percaya OKU lain juga mampu berjaya. Kalau saya boleh buat, kenapa mereka tidak boleh?” katanya.
Sementara itu, seorang lagi graduan OKU, Muhammad Nur Amjadh Asabdeem, 26, yang dilahirkan dengan masalah kaki pengkor atau talipes turut membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang kejayaan apabila menerima Anugerah Alumni Bidang Sains dan Teknologi selepas memperoleh PNGK 3.95 dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian (Pembangunan Sistem Maklumat).
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata, kedua-dua kakinya bengkok ke dalam sejak dilahirkan dan menjalani pembedahan ketika berusia tiga tahun pada 2003, namun kaki kirinya masih tidak pulih sepenuhnya sehingga menyebabkan pergerakannya terbatas.
“Kaki kanan saya sudah okey selepas pembedahan tetapi kaki kiri masih bengkok sedikit menyebabkan cara saya berjalan nampak kekok.
“Saya juga tidak boleh berjalan terlalu pantas kerana kaki mudah sakit dan luka akibat geseran.
“Dulu ramai pandang rendah pada kemampuan saya dan mengatakan dengan keadaan kaki begini, saya tidak boleh pergi jauh dalam kehidupan tetapi akhirnya kata-kata mereka itu menjadi dorongan untuk saya membuktikan kemampuan diri,” katanya.
Muhammad Nur Amjadh yang pernah menyandang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) bagi sesi 2024 hingga 2025 berkata, dia kini turut mengusahakan tiga syarikat pemula sebagai pengasas bersama termasuk projek realiti maya (VR) untuk kanak-kanak autisme dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.
Katanya, kejayaannya itu membuktikan golongan OKU juga mempunyai kelebihan dan kemampuan tersendiri sekali gus berharap masyarakat tidak memandang rendah terhadap mereka hanya kerana kekurangan fizikal.
“Setiap orang ada kemahiran dan kelebihan masing-masing.
“Saya juga mahu menggalakkan mahasiswa OKU supaya tidak merendahkan diri sebaliknya mempunyai keyakinan tinggi dan berani mencuba.
“Yang penting kita berusaha tetapi tidak perlu terlalu mengejar kesempurnaan kerana apabila kita berani mengambil tindakan, sekurang-kurangnya ada kemajuan dan langkah seterusnya yang boleh dilakukan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd