LATEST

Hala tuju GRS hadapi PRU16 dibincang apabila tiba masanya – Armizan

Hala tuju GRS hadapi PRU16 dibincang apabila tiba masanya – Armizan

PAPAR: Hala tuju Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), termasuk kemungkinan menjalin kerjasama dengan parti lain, akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) gabungan itu apabila tiba masanya.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, perkara itu belum dibincangkan secara rasmi kerana keutamaan ketika ini adalah memperkukuh kekuatan parti komponen di seluruh kawasan.

Baca juga: Anak Orang Asli impi sarung jersi kebangsaan

Beliau berkata, sebarang keputusan berkaitan hala tuju politik gabungan itu perlu mengambil kira pandangan serta maklum balas semua parti komponen, termasuk ahli di peringkat akar umbi.

“Perkara ini perlu dibincangkan kerana GRS membabitkan pelbagai parti. Mungkin apabila tiba masanya, ia akan dibawa ke mesyuarat MKT GRS untuk dibincangkan.

“Walaupun saya Setiausaha Agung, perkara ini bukan bergantung kepada pandangan peribadi saya, sebaliknya memerlukan maklum balas daripada ahli parti komponen di peringkat akar umbi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana: Radio Amatur Sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 di sini, hari ini.

Mengulas kemungkinan kerjasama politik dengan parti lain, Armizan berkata, GRS tidak menutup pintu kepada sebarang bentuk kerjasama, malah gabungan itu sebelum ini pernah bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil.

Katanya, keutamaan ketika ini adalah memastikan kestabilan kerajaan negeri terus terpelihara bagi membolehkan perkhidmatan terbaik disampaikan kepada rakyat.

“GRS ini terbuka. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu pun, kita ada bekerjasama dengan parti lain, termasuk selepas pilihan raya.

“Apa yang penting adalah mewujudkan kestabilan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan kita memberikan khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, keputusan PRN Sabah lalu juga menjadi antara indikator penting yang perlu diteliti dalam menentukan hala tuju GRS pada masa depan.

Katanya, isyarat yang disampaikan rakyat menerusi keputusan pilihan raya itu perlu diambil kira sebelum sebarang keputusan mengenai strategi politik gabungan berkenaan dimuktamadkan.

Semalam, media melaporkan Pengerusi PH Sabah, Datuk Mustapha Sakmud, berkata pihaknya akan mempertahankan tiga kerusi Parlimen yang disandang ketika ini, iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan, selain menyasarkan beberapa kerusi lain yang berpotensi dimenangi pada PRU16.

Bagaimanapun, Mustapha enggan mendedahkan jumlah atau kerusi yang menjadi sasaran PH Sabah, selain menjelaskan rundingan kerjasama dengan rakan politik lain, khususnya GRS, bagi menghadapi PRU16 masih belum dimuktamadkan. – UTUSAN

The post Hala tuju GRS hadapi PRU16 dibincang apabila tiba masanya – Armizan appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news