Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa kerajaan menghentikan serta-merta semua penghantaran pulang pemohon suaka dan pelarian ke Myanmar sehingga keselamatan serta hak golongan berkenaan dapat dijamin.
Gesaan dibuat susulan keputusan ICJ
Menerusi satu kenyataan, gesaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 November lalu yang memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap masyarakat Rohingya di utara Negeri Rakhine serta mengarahkan negara itu menyediakan remedi kepada mangsa.
Baca juga: Tiada siapa kebal! Panglima Tentera Udara tegas isu pegawai TUDM terlibat dadah
Menurut SUHAKAM, keputusan berkenaan turut menuntut Myanmar membenarkan kepulangan masyarakat Rohingya yang kehilangan tempat tinggal secara selamat, sukarela dan bermaruah, selain memastikan penyatuan semula keluarga serta pemulihan harta benda yang hilang atau rosak.
Suruhanjaya itu menegaskan sebarang proses penghantaran pulang tidak boleh dilaksanakan selagi individu terbabit masih berisiko menghadapi penganiayaan, diskriminasi atau ancaman terhadap keselamatan mereka.
“Perintah ini menjelaskan sebarang kepulangan mestilah dilaksanakan secara selamat, sukarela dan bermaruah serta disokong perlindungan serta remedi yang berkesan.
“Proses penghantaran pulang tidak boleh dianggap selamat atau mampan selagi individu masih berisiko menghadapi penganiayaan atau diskriminasi atau sekiranya perlindungan dan remedi yang sewajarnya tidak tersedia,” katanya.
Gesa kerajaan pastikan pemohon suaka & pelarian jalani penilaian risiko individu
Terdahulu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan seramai 12,176 warga Myanmar dihantar pulang ke negara asal dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.
Walau bagaimanapun, jumlah itu merangkumi warga Myanmar yang kewarganegaraannya telah disahkan dan bukan khusus kepada etnik Rohingya.
Dalam pada itu, SUHAKAM turut menggesa kerajaan memastikan setiap pemohon suaka dan pelarian menjalani penilaian risiko secara individu sebelum sebarang tindakan penghantaran pulang dilakukan, termasuk mengambil kira ancaman penganiayaan, pemisahan keluarga serta kepentingan terbaik kanak-kanak.
Malah, kerajaan disaran membenarkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) membantu melaksanakan penilaian risiko dan menyediakan perlindungan sementara kepada golongan berkenaan.
Foto: Berita Harian
SUHAKAM turut menekankan kepentingan mewujudkan kerangka suaka negara berteraskan hak asasi manusia, telus dan inklusif menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Selain itu, kerajaan diminta menangani ucapan kebencian, maklumat palsu serta hasutan terhadap masyarakat Rohingya, termasuk menyiasat dakwaan ugutan, pemerasan dan eksploitasi terhadap komuniti berkenaan.
“Kerajaan perlu menangani jurang perundangan yang berlarutan sekian lama ini dengan memperkenalkan kerangka perundangan yang diperlukan bagi memenuhi obligasi Malaysia di bawah konvensyen berkenaan dan memperkukuh perlindungan domestik daripada jenayah genosid,” katanya.

Gesaan itu turut merangkumi penggubalan undang-undang domestik khusus bagi menguatkuasakan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid yang disertai Malaysia pada 1994.