am@hmetro.com.my
Baca juga: Hala tuju GRS hadapi PRU16 dibincang apabila tiba masanya – Armizan
Pontian: Penyelarasan pendirian politik Barisan Nasional (BN) antara peringkat negeri dan Pusat perlu diputuskan segera bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat serta jentera parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, jentera di peringkat akar umbi memerlukan hala tuju yang jelas berhubung bentuk kerjasama politik yang bakal diterokai parti itu supaya tidak wujud percanggahan antara pentadbiran negeri dan Persekutuan.
“Kita tidak mahu orang keliru apabila di negeri kita tidak bersama, tetapi di Pusat kita bersama. Di negeri ikut BN, di Pusat ikut Pakatan Harapan (PH), mana boleh begitu. Saya kira kita perlu selaraskan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Dewan Terbuka baru Al -Hikmah Sekolah Agama Bandar Benut di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahmad menyuarakan harapan supaya kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) di peringkat bahagian dapat diperkukuhkan menerusi penganjuran program secara bersama, selaras dengan pendekatan yang sudah dilaksanakan di tiga negeri.
Menurut beliau, keselarasan gabungan itu penting bagi memastikan pendirian parti kekal konsisten di semua peringkat.
“Apabila tiga negeri sudah bersama dengan PN, takkan di Pusat kita nak bersama dengan PH pula,” katanya.
Dalam pada itu, kata Ketua Sekretariat War Room UMNO itu turut berkata UMNO perlu menggerakkan persiapan seawal tahun keempat selepas PRU15 dan tidak boleh menunggu sehingga tarikh PRU16 diumumkan.
Katanya, tempoh antara satu pilihan raya dengan pilihan raya berikutnya adalah sekitar empat tahun empat bulan berdasarkan purata 15 pilihan raya sebelum ini.
Beliau berkata, tempoh sekarang dilihat sebagai masa sesuai untuk parti memperkemas persiapan menghadapi PRU16 memandangkan PRU15 yang berlangsung pada 19 November 2022 genap memasuki tahun keempat pada 19 November lalu.
“Apabila melepasi sahaja tahun keempat, bahagian-bahagian perlu mula bekerja untuk menghadapi PRU16.
“Purata satu pilihan raya ke satu pilihan raya adalah empat tahun empat bulan, tetapi mungkin juga empat tahun satu bulan, dua bulan, tiga bulan atau sehingga enam bulan. Itu terpulang, namun apabila melepasi empat tahun, ia sudah menjadi tahun persiapan,” katanya.
Beliau berkata, antara persiapan yang perlu dibuat merangkumi pelbagai aspek termasuk memperkukuh jentera pilihan raya, mendekati pengundi dan menggerakkan portfolio penerangan.
“Saya berharap portfolio pertama yang perlu digerakkan ialah penerangan. Ada banyak isu yang perlu kita bawa, ketengahkan dan jawab,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd