KUALA LUMPUR: Polis giat memburu sekumpulan individu yang disyaki terbabit dalam kejadian mencuri kabel di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Tun Razak di sini, selepas rakaman insiden itu tular di media sosial hari ini.
Baca juga: ‘Api terlalu marak, kami tak berdaya membantu… hanya nampak ibu mangsa menangis’
Kejadian curi kabel itu dikesan selepas tular menerusi media sosial termasuk dikongsikan Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin, menerusi akaun Facebook miliknya pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pihaknya menerima laporan polis kira-kira jam 9.50 pagi hari ini, berhubung satu hantaran video berdurasi 38 saat yang dimuat naik di platform Threads.
Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pada waktu siang membabitkan sekumpulan individu menggunakan dua kenderaan ketika melakukan kerja memotong kabel berkenaan.
“Semua suspek melarikan diri selepas dihampiri orang awam yang menyedari kegiatan mereka.
“Polis sedang giat menjalankan tindakan mengesan semua suspek yang terbabit dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, orang ramai mempunyai maklumat diminta segera menghubungi polis bagi membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan menerusi Hotline Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-9289 9222, selain hadiFr ke mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd