LATEST

Tolong beraksi sepenuh hati – Jonassen

Tolong beraksi sepenuh hati – Jonassen

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Kucing Dan Anjing Bersahabat, Video Tular Di Threads

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Kenneth Jonassen mahu Justin Hoh dan Eogene Ewe kembali mempamerkan aksi sepenuh hati apabila mengharungi saingan tiga kejohanan di India, bukan sekadar turun gelanggang tanpa keyakinan terhadap kemampuan sendiri.

Katanya, Justin dijadualkan menyertai dua kejohanan, manakala Eogene pula akan beraksi dalam ketiga-tiga kejohanan berkenaan.

Terdapat tiga kejohanan akan datang iaitu Antarabangsa Syed Modi (24-29 November), Masters Guwahati (1-6 Disember) dan Masters Odisha (8-13 Disember).

“Jika akhirnya mereka tewas, kita boleh menerima keputusan itu. Namun, jika mereka meninggalkan gelanggang selepas hanya mempamerkan 70 hingga 80 peratus daripada tahap permainan terbaik, itu bukan sesuatu yang kita mahukan. Sudah tentu, jurulatih sedikit kecewa, tetapi saya boleh katakan pemain sendiri sebenarnya lebih kecewa dengan situasi yang mereka lalui,” katanya.

Tambahnya, setiap pemain harus mempunyai kepercayaan diri yang tinggi agar prestasi hambar sebelum ini tidak terus menghantui mereka dan mengganggu fokus ketika beraksi sehingga memberi tekanan kepada diri sendiri.

Bagaimanapun, Jonassen tetap percaya kedua-dua pemain mampu mengubah keadaan berdasarkan kesungguhan yang ditunjukkan dalam latihan, walaupun proses untuk kembali ke prestasi terbaik mungkin mengambil masa.

“Kami komited untuk memberikan sokongan sebanyak mungkin. Kami melihat sendiri usaha yang mereka lakukan dalam latihan dan sebab itu kami terus percaya kepada mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news