LATEST
National

Tiang tumbang dirempuh kereta hempap rumah, pemilik syukur tak kena bilik tidur

Tiang tumbang dirempuh kereta hempap rumah, pemilik syukur tak kena bilik tidur

JOHOR BAHRU: “Saya tidak dapat bayangkan nasib ahli keluarga sekiranya tiang elektrik itu hempap bahagian bilik tidur,” kata warga emas, Ab Manaf Sujak, 71, di Jalan Permas 1/12, Bandar Permas Jaya di sini, hari ini.

Baca juga: Sumbangan TH jayakan Adahi diiktiraf kerajaan Arab Saudi

Ab Manaf adalah pemilik rumah yang terjejas apabila tiang elektrik tumbang dirempuh kereta terbabas menghempap kediamannya.

Selain bumbung dihempap tiang elektrik, kereta serta tembok pagar rumahnya turut dalam kejadian kira-kira jam 2pagi itu.

Dia yang juga peniaga nasi ayam berkata, ketika kejadian itu, dia sekeluarga sedang tidur, sebelum dikejutkan dentuman kuat.

“Saya terkejut mendapati tiang elektrik melebihi lima meter menghempap bumbung hingga sebahagian struktur itu rosak… tembok pagar, khemah bersebelahan rumah serta bahagian hadapan kereta turut terkena.

“Selepas diperiksa, saya dapati sebuah kereta terbabas ke longkang dan tanpa berfikir panjang saya ke arah kereta sebelum mendapati pemandunya selamat.

“Pemandu berusia 20-an itu mendakwa terbabas hingga merempuh tiang elektrik sebelum keretanya memasuki longkang,” katanya ketika dihubungi.

Ab Manaf berkata, dia bagaimanapun bersyukur isterinya berusia 65 tahun serta cucu lelaki berusia 20 tahun yang berada di rumah selamat.

“Sebelum ini pernah beberapa kali kereta terbabas masuk longkang di kawasan ini, namun ini pertama kali mengakibatkan kerosakan bangunan rumah.

“Saya buntu memikirkan kos bagi membaik pulih kerosakan berpunca daripada kecuaian pemandu kereta.

“Keluarga pemandu kereta itu sudah bertemu dengan kami dan memohon maaf atas kejadian.

“Berkaitan kos pembaikpulihan, kami kurang pasti sama ada keluarga pemandu kereta itu akan menanggung atau sebaliknya,” katanya yang turut membuat laporan di Balai Polis Trafik Daerah Johor Bahru Selatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news