LATEST

Tiket Terbuka Malaysia 2027 mula dijual 24 November

Tiket Terbuka Malaysia 2027 mula dijual 24 November

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Pelajar SBP hilang ditemukan selamat, kejadian tak berkait kes mati Rabu lalu – Polis

Kuala Lumpur: Tiket bagi kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2027 akan mula dijual pada 24 November ini, dengan tawaran promosi Early Bird yang menawarkan harga khas kepada peminat yang membuat pembelian awal.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataan memaklumkan, tiket boleh dibeli mulai jam 2 petang menerusi laman web www.ticket2u.com.my.

Kejohanan pembuka tirai Jelajah Dunia BWF berstatus Super 1000 itu dijadual berlangsung selama 11 hari, dari 21 hingga 31 Januari tahun depan di Unifi Arena, Kuala Lumpur.

Promosi Early Bird berlangsung dari 24 November hingga 24 Disember ini, dengan tiket harian bagi tarikh dan kategori tempat duduk terpilih ditawarkan bermula RM20, tidak termasuk caj tempahan.

Edisi 2027 turut memperkenalkan sistem mata baharu 3×15, dengan perlawanan dimainkan dalam format terbaik daripada tiga set, setiap set sehingga 15 mata.

Selain itu, acara perseorangan lelaki dan wanita akan menggunakan format baharu dengan penyertaan diperluaskan kepada 48 pemain bagi setiap kategori, yang akan bersaing di peringkat kumpulan sebelum mara ke pusingan kalah mati.

Perubahan format pertandingan yang diperluaskan itu dijangka memberi lebih banyak peluang kepada peminat untuk menyaksikan aksi pemain badminton terbaik dunia, termasuk wakil negara, sepanjang kejohanan berlangsung.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menggalakkan peminat merancang kunjungan dan mendapatkan tiket lebih awal bagi memastikan mereka dapat memilih tempat duduk yang diinginkan.

“Kami tidak sabar untuk menyambut peminat bagi menyaksikan 11 hari aksi badminton bertaraf dunia. Format yang diperluaskan memberi lebih banyak peluang kepada mereka untuk menikmati pertandingan dan kami menggalakkan semua mengambil kesempatan daripada tawaran Early Bird bagi mendapatkan tempat duduk pilihan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news