sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Jumlah pesakit meningkat cetus kesesakan di Zon Kuning JKT Hospital Ampang
Kuala Lumpur: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menafikan dakwaan dua tekong negara, Syahir Rosdi dan Zarif Marican Mohd Zarif, bakal menyertai Liga Takraw Thailand (TTL) selepas pengumuman mengenai penyertaan mereka tular di media sosial.
Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, perkara itu sudah diperjelaskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu, hari ini menerusi makluman daripada presiden kelab masing-masing yang mengesahkan kedua-dua pemain tidak akan beraksi dalam liga berkenaan.
Beliau berkata, PSM tidak menghalang pemain menyertai liga luar negara sekiranya tidak terikat dengan perancangan skuad kebangsaan, namun Syahir dan Zarif difahamkan tidak berhasrat menyertai TTL.
“Saya tidak tahu siapa yang membuat pengumuman di media sosial itu, tetapi rasanya bukan daripada pemain sendiri. Mereka juga tidak pernah bertanya kepada saya.
“Cuma Ahmad Jais Baharun (ketua jurulatih skuad kebangsaan) ada merujuk dan saya memberikan pandangan supaya perkara itu diputuskan oleh kelab, memandangkan mereka terikat dengan saingan Liga Sepak Takraw (STL),” katanya.
Sumali berkata, PSM pada dasarnya tidak mempunyai halangan sekiranya pemain mahu menyertai TTL, terutama Program Podium musim ini sudah menghampiri penghujung, manakala liga Thailand itu masih di peringkat kelayakan.
Bagaimanapun, katanya, penyertaan pemain perlu mendapat persetujuan Majlis Sukan Negara (MSN), selain kelab masing-masing perlu bersedia menanggung risiko sekiranya pemain mengalami kecederaan.
Beliau menegaskan pemain yang disenaraikan dalam Program Podium 2027 tidak akan dibenarkan menyertai TTL tahun depan kerana terikat dengan perancangan skuad kebangsaan.
“Untuk tahun depan memang tidak boleh kerana mereka terikat dengan projek Podium 2027, jadual latihan, aksi ujian serta perancangan kita ke Piala Dunia di Jakarta dan Piala Raja Thai.
“Jika berlaku kecederaan, pihak kita yang terpaksa menanggungnya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd