NEW YORK: Indeks Nasdaq Composite menghapuskan semua keuntungan yang diraih sepanjang 2026 apabila ditutup susut lima peratus berbanding paras pada 1 Januari, susulan kejatuhan saham syarikat berkaitan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas.
Penurunan itu berlaku pada Jumaat ketika saham Anthropic merosot pada hari kedua dagangannya, sekali gus menyeret pasaran saham lebih rendah. Indeks Dow Jones Industrial Average dan S&P 500 turut ditutup dalam wilayah pembetulan pasaran.
Baca juga: Biar rakyat tentukan siapa layak wakili Padang Rengas – Kamil Munim
Tawaran awam permulaan (IPO) Anthropic yang mencatat rekod terbesar dalam sejarah gagal meredakan gelombang jualan saham syarikat berkaitan AI di seluruh dunia.
Menurut Wall Street Journal, Nasdaq yang didominasi saham teknologi kehilangan kira-kira AS$4 trilion (RM16.45) nilai pasaran sepanjang minggu ini.
Saham syarikat AI terkemuka yang membangunkan chatbot Claude itu, yang mula disenaraikan di pasaran saham Amerika Syarikat (AS) pada Khamis, merosot sembilan peratus pada Jumaat, menghapuskan sebahagian besar keuntungan yang diraih ketika IPO.
Dua hari pertama dagangan Anthropic sebagai syarikat tersenarai menyaksikan turun naik ketara. Sahamnya melonjak 17 peratus pada Khamis selepas mencatat kenaikan hampir 40 peratus sejurus dagangan bermula.
Saham syarikat teknologi AS turut merosot seiring kejatuhan Anthropic pada Jumaat, dengan pengeluar cip memori SanDisk susut 14 peratus, manakala pesaingnya, Micron, jatuh 12 peratus. Saham Nvidia pula merosot 14 peratus, menghapuskan nilai pasaran bernilai ratusan bilion dolar.
Strategis pelaburan Saxo dari United Kingdom (UK), Neil Wilson, berkata, tekanan jualan terhadap saham teknologi berterusan tanpa henti.
Pasaran global turut merosot pada Jumaat, dengan pasaran saham Asia mencatatkan prestasi mingguan terburuk sejak 2020 susulan kejatuhan saham syarikat semikonduktor utama.
Di Taiwan, saham merosot 6.7 peratus ke paras terendah sejak pertengahan April, manakala pengeluar cip Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) susut kira-kira enam peratus.
Kejatuhan itu mendorong pengerusi bursa saham Taiwan berjanji memastikan kestabilan operasi pasaran modal selain meyakinkan pelabur supaya terus yakin terhadap asas kukuh syarikat negara itu.
Di Jepun, indeks Nikkei merosot lima peratus, manakala indeks Kospi Korea Selatan yang didominasi saham teknologi susut 5.5 peratus.
Saham SoftBank, syarikat pelaburan teknologi, turut mencatatkan kejatuhan harian terbesar dalam tempoh lebih dua tahun apabila merosot 14.5 peratus di Tokyo, susulan kebimbangan terhadap pelaburan besarnya dalam sektor AI.
Pasaran saham Eropah pula mencatatkan kerugian mingguan terbesar sejak Mac 2025, dengan indeks pan-Eropah Stoxx 600 susut 1.9 peratus pada Jumaat. Indeks saham utama London turut mencecah paras terendah dalam tempoh lima bulan.
Gelombang jualan itu menyusuli kerugian di Wall Street pada Khamis apabila semua indeks utama merosot lebih dua peratus dalam dagangan yang didominasi penyenaraian saham Anthropic.
Ketua penganalisis pasaran di platform pelaburan dan dagangan IG, Chris Beauchamp berkata, penyenaraian Anthropic berkemungkinan mengurangkan kecairan pasaran apabila pelabur menjual saham syarikat lain untuk mendapatkan dana bagi membeli saham baharu firma AI itu.
Beliau berkata, kejatuhan daripada paras tertinggi sehari sebelumnya menunjukkan terdapat faktor lain yang mungkin tidak disedari pelabur, manakala tekanan terhadap saham teknologi lain berkemungkinan meningkat apabila dana diperlukan untuk menyokong pembelian saham Anthropic.
Penyenaraian Anthropic juga gagal meredakan kebimbangan terhadap pelaburan dalam sektor AI apabila pelabur semakin mempersoalkan keupayaan syarikat menjana pulangan setimpal dengan perbelanjaan berbilion dolar bagi membangunkan teknologi berkenaan.
Penganalisis pasaran kanan Capital.com, Daniela Hathorn, berkata. IPO itu membuktikan permintaan terhadap pelaburan berkaitan AI masih kukuh, namun belum cukup untuk mengatasi kebimbangan mengenai penilaian syarikat yang terlalu tinggi, keuntungan dan kemampanan perbelanjaan pelaburan.
Sementara itu, saham Nvidia turut merosot selepas syarikat pengeluar cip itu menerima sepina daripada pihak berkuasa California sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung kemungkinan cip semikonduktor canggihnya sampai ke China.
Indeks saham FTSE 100 Britain turut merosot 5.1 peratus sepanjang minggu ini, kejatuhan mingguan terbesar sejak bermulanya perang Iran.-AGENSI
The post IPO Anthropic gagal redakan gelombang jualan saham AI appeared first on Utusan Malaysia.