sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Tiket Terbuka Malaysia 2027 mula dijual 24 November
Johor Bahru: Dua atlet boling wanita kebangsaan, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Natasha Roslan meletakkan sasaran untuk mengesahkan tempat dalam skuad negara bagi menghadapi Sukan SEA tahun depan.
Kedua-dua atlet berpengalaman itu kini memberi tumpuan kepada persiapan masing-masing bagi menghadapi proses pemilihan skuad kebangsaan, selain memperkemas prestasi untuk merebut peluang beraksi pada temasya berkenaan.
Siti Safiyah Amirah berkata, dia menyasarkan untuk terpilih mewakili negara pada temasya itu, lebih-lebih lagi apabila Malaysia menjadi tuan rumah dan acara boling tenpin dijadualkan berlangsung di Sarawak.
“Matlamat saya adalah untuk dipilih terlebih dahulu kerana persaingan dalam pasukan sekarang semakin sengit dengan ramai pemain yang menunjukkan prestasi baik.
“Jadi, saya mempunyai beberapa bulan untuk membuktikan kemampuan dan menunjukkan bahawa saya layak berada dalam skuad yang akan dibentuk nanti,” katanya.
Terdahulu, Natasha dan Siti Safiyah Amirah ditemui selepas merasmikan 3BA Proshop and Performance Centre yang turut dihadiri pemiliknya, Badrulizam Bakrim di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang, di sini hari ini.
Natasha berkata, pengalaman beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjadi antara pendorong untuk kembali mewakili negara di hadapan penyokong sendiri.
Pada temasya itu, Natasha meraih pingat gangsa acara trio wanita dan emas acara berpasukan ketika Malaysia muncul juara keseluruhan pungutan pingat bagi sukan berkenaan.
Sebelum memulakan persiapan penuh tahun depan, Siti Safiyah Amirah berkata, beliau dijadual menyertai kejohanan boling Penang Pesta bulan depan yang menjadi pertandingan terakhirnya bagi tahun ini.
Sementara itu, Natasha berkata, persiapan keseluruhan pasukan kebangsaan dilihat berada pada landasan positif susulan kejayaan skuad lelaki dan wanita negara pada Kejohanan Boling Tenpin Asia ke-28 di Doha, Qatar.
Katanya, kejayaan meraih gelaran juara dalam kedua-dua kategori berkenaan menjadi suntikan semangat buat skuad bowling kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA tahun depan.
“Alhamdulillah, saya rasa pasukan berada dalam keadaan baik dan jika momentum ini dapat dikekalkan, kita mempunyai persediaan yang positif untuk menghadapi Sukan SEA,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd