Portimao: Pelumba Itali, Marco Bezzecchi terus memberi tekanan kepada pendahulu kejuaraan dunia MotoGP, Marc Marquez apabila meraih petak utama bagi Grand Prix (GP) Portugal, mengatasi pelumba Sepanyol itu.
Baca juga: ‘Saya akan kembali’ – Kane
Pelumba Ducati, Marquez berpeluang mengekalkan gelaran juara dunia MotoGP minggu ini, sekali gus menyamai rekod lapan gelaran dunia dalam kelas premier perlumbaan motosikal, 13 tahun selepas meraih gelaran pertamanya.
Bezzecchi yang menjuarai perlumbaan sebelum ini, GP Qatar, mendominasi permulaan pusingan kedua terakhir kejuaraan di selatan Portugal itu dan masih berpeluang memburu gelaran dunia.
Pelumba Aprilia itu mencatat masa terpantas 1 minit 37.201 saat untuk meraih petak utama bagi perlumbaan pecut dan GP pada Ahad.
Bezzecchi mendahului hampir setengah saat di depan Marquez, manakala seorang lagi pelumba Itali daripada pasukan Ducati-VR46, Fabio Di Giannantonio, melengkapkan kedudukan tiga teratas sesi kelayakan.
Marquez kini mendahului Jorge Martin, rakan senegara dari Sepanyol, dengan kelebihan 60 mata, manakala Bezzecchi ketinggalan 74 mata di belakangnya. Marquez berpeluang mengesahkan kejuaraan dunia menerusi perlumbaan pecut.
Martin yang mewakili Aprilia pula hanya mencatat masa ketujuh terpantas dalam sesi kelayakan.
© New Straits Times Press (M) Bhd