WASHINGTON: Beberapa jabatan polis di bandar-bandar Amerika Syarikat (AS) menggunakan media sosial untuk mengingatkan pemain permainan video Grand Theft Auto VI (GTA 6) supaya tidak mencampuradukkan dunia jenayah fiksyen dalam permainan itu dengan tingkah laku di dunia sebenar, ketika keterujaan terhadap pelancarannya memuncak di seluruh dunia.
Pihak polis turut mengingatkan pemain perbuatan seperti mencuri kereta, berlumba di jalan raya, memandu secara berbahaya dan melakukan keganasan merupakan kesalahan jenayah dalam kehidupan sebenar.
Baca juga: Kenyataan Poay Tiong jadi beban parti kerajaan, jangan semua nak dipolitikkan -Kamil Munim
“Biarkan semua itu dalam permainan. Jangan bawa ke jalan raya kita,” katanya.
Jabatan Polis Aurora pula menekankan polis di dunia sebenar tidak menggunakan sistem tahap buruan enam bintang seperti dalam permainan berkenaan, sebaliknya walaupun satu bintang boleh menyebabkan seseorang digari.
Polis Denver, Colorado turut menggesa pemain supaya melakukan segala aktiviti mencuri kenderaan dalam permainan GTA sahaja, sambil menegaskan mencuri kereta dan melarikan diri daripada pihak berkuasa tetap menyalahi undang-undang.
“Bermain GTA 6 dari sofa di rumah amat digalakkan. Kami akan menguruskan jalan raya sebenar, anda pula uruskan dunia maya,” katanya.
Di Florida, Jabatan Polis Port St. Lucie turut menyertai kempen itu dengan mengingatkan pemain supaya tidak menjadikan jalan raya tempatan sebagai litar perlumbaan atau cuba mencuri kenderaan polis.
Jabatan itu turut mengingatkan kehidupan sebenar tidak mempunyai butang untuk menghidupkan semula watak selepas mati dan setiap tindakan mempunyai akibat tersendiri.
Peringatan itu dikeluarkan ketika GTA VI, yang dibangunkan oleh Rockstar Games, mencetuskan minat komersial yang amat tinggi selepas dilancarkan di seluruh dunia pada Khamis.
Platform analisis, Sensor Tower menganggarkan permainan itu menjana pendapatan AS$2.36 bilion (RM9.7 bilion) hasil jualan prapesanan dan pada hari pelancaran, dengan sebanyak 24.58 juta salinan terjual sehingga lewat Khamis.
Angka berkenaan merangkumi pembelian awal dan jualan pada hari pelancaran. Rockstar Games dan syarikat induknya, Take-Two Interactive masih belum mengeluarkan angka jualan rasmi, meskipun permintaan tinggi terhadap permainan itu disifatkan belum pernah berlaku sebelum ini.
GTA 6 yang tersedia untuk konsol PlayStation 5 dan Xbox Series X/S merupakan permainan utama terbaharu dalam francais itu sejak Grand Theft Auto V dilancarkan pada 2013, sekali gus menamatkan penantian peminat selama 13 tahun.-AGENSI
The post Polis AS pantau pemain GTA 6, beri amaran jangan tiru aksi jenayah di dunia nyata appeared first on Utusan Malaysia.