LATEST

Rumah dan enam kenderaan musnah 90 peratus dalam kebakaran

Rumah dan enam kenderaan musnah 90 peratus dalam kebakaran

am@hmetro.com.my

Kuala Nerang: Sebuah rumah dan enam kenderaan termasuk tiga motosikal musnah dalam kebakaran di Lorong Mawar, Kampung Baru di sini, hari ini.

Baca juga: Bezzecchi terus tekan Marquez

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Zulhusni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 6.05 petang hari ini.

Beliau berkata, sepasukan enam anggota dari BBP Kuala Nerang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Mohd Risham Yan dibantu lima anggota BBP Pokok Sena serta jentera tangki air, tiba di lokasi tidak lama kemudian.

Katanya, operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Pokok Sena dan Jalan Kundur serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan kecemasan melalui talian sistem NG MERS 999 memaklumkan terdapat kebakaran rumah dan api sedang marak.

“PGO Kedah mengarahkan jentera bersama anggota dari BBP Kuala Nerang, BBP Pokok Sena dan PBS berdekatan ke lokasi kejadian, ” katanya di sini hari ini.

Zulhusni berkata, komander operasi (KO) melaporkan setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran membabitkan sebuah rumah teres kelas A satu tingkat.

Beliau berkata, kebakaran dianggarkan memusnahkan kira-kira 90 peratus struktur rumah berkenaan dan tiga kereta iaitu Perodua Myvi, Proton Iswara, dan sebuah Van Liteace.

“Selain itu, tiga motosikal jenis Honda EX-5, Honda Wave dan Yamaha Nouvo 90 yang berada di ruang hadapan rumah turut musnah 90 peratus.

“Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran itu dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Zulhusni berkata, komander operasi melaporkan tekanan air di kawasan itu berada pada tahap rendah dan kerja pemadaman masih dilakukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news