am@hmetro.com.my
Baca juga: Polis kesan pemandu Proton Satria kuning langgar wanita di Hulu Langat, video kejadian turut tular
Pendang: Pekerja pendawaian meninggal dunia dipercayai akibat terkena renjatan elektrik, selepas ditemukan tidak sedarkan diri di atas bumbung sebuah rumah di Kampung Manggol, Ayer Puteh, di sini, hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Mohd Rosli Yusof berkata, kejadian itu dipercayai berlaku jam 12.30 tengah hari.
Beliau berkata, pasukan bomba yang bergegas ke lokasi membantu membawa turun mangsa dari bumbung kediaman itu, sebelum lelaki terbabit dibawa dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) ke Hospital Pendang pada jam 1 tengah hari.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital berkenaan pada 2 petang,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik ketika memotong paip PVC mengandungi wayar elektrik.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, ” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Ahmad Huzaini Halil berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.42 tengah hari tadi.
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota dari BBP Pendang yang diketuai Zukri Jusoh tiba di lokasi tidak lama kemudian dan membantu membawa turun mangsa dari bumbung rumah berkenaan.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd