am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Minat mendalam dalam bidang seni sejak kecil mendorong, Almiera Aryanna Putera Hang Jebat, 14, mengorak langkah dalam bidang lakonan.
Baca juga: Nadal kini sertai Real Madrid
Almiera berkata, dia juga menjadikan datuknya, Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin
sebagai idola dan sumber inspirasinya memandangkan beliau adalah figura besar dalam industri perfileman tanah air.
“Saya memang minat dan impi nak jadi seperti arwah datuk sejak kecil. Antara filem lakonan arwah datuk yang paling diminati adalah Bukit Kepong.
“Justeru, bila ditawarkan pengarah (Ogy) untuk berlakon dalam filem pendek, Diam Yang Bergema, saya tidak mahu menolak peluang keemasan itu,” kata pelajar Sekolah Menengah Taman Melawati itu.
Almiera berkata demikian ketika ditemui pada tayangan filem pendek arahan Fauziah Datuk Ahmad Daud (Ogy), Diam Yang Bergema sempena Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) di GSC Mid Valley, di sini.
Mengulas lanjut, kata Almiera, dia akui berdepan cabaran tersendiri ketika berlakon dalam filem pendek arahan Ogy di mana julung kali dirinya beraksi di hadapan kamera.
“Antara perkara yang agak sukar adalah menghafal skrip. Saya juga mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengingati dialog sebelum melakonkan sesuatu babak dalam filem pendek itu.
“Saya turut menerima teguran dan dimarahi pengarah apabila lakonan tidak menepati kehendaknya. Tetapi saya okay sahaja kerana itu sebahagian daripada proses pembelajaran,” katanya yang turut mengikuti bengkel lakonan dikendalikan Ogy.
Dalam pada itu, Almiera tidak menafikan dia turut membawa nama besar Allahyarham datuknya bila melangkah dalam bidang lakonan.
Katanya, dia berharap dapat membina nama dan dikenali berdasarkan bakat dan bukan sekadar menumpang nama besar datuknya itu.
“Saya mahu membuktikan kemampuan sendiri dalam bidang lakonan tanpa terlalu bergantung kepada nama besar datuk.
“Buat masa ini, saya tidak mahu terlalu terburu-buru mengejar kerjaya lakonan kerana mahu memberikan keutamaan kepada pelajaran dan berlakon ketika musim cuti sekolah,” katanya yang turut mendapat sokongan dari bapanya Putera Hang Jebat.
© New Straits Times Press (M) Bhd