LATEST
National

YTSP Perlis santuni lebih 50,000 pelajar menerusi Program Titian Kasih Mega

YTSP Perlis santuni lebih 50,000 pelajar menerusi Program Titian Kasih Mega

KUALA LUMPUR: Lebih 50,000 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga di seluruh sekolah menengah Perlis memanfaatkan Program Titian Kasih Mega anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis sejak ia diperkenal pada 2007.

Baca juga: Bezzecchi terus tekan Marquez

Dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, inisiatif itu memberi tumpuan kepada pembangunan sahsiah, kepimpinan, jati diri dan kematangan pemikiran remaja bagi mempersiapkan mereka dalam mendepani cabaran masa depan.

Antara aspek utama ditekankan dalam program itu yang turut diperluas ke Tawau, Kudat dan Sandakan di Sabah serta Melaka, ialah keselamatan awam, pencegahan gejala sosial, kesihatan dan gaya hidup aktif, ekonomi negeri serta kelestarian alam sekitar.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan YTSP Perlis dalam memperkasakan generasi muda, yang turut diraikan pada Majlis Malam Amal YTSP Perlis 2026 di ibu negara malam ini.

Majlis sempena sambutan ulang tahun ke-40 penubuhan yayasan itu diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Pengerusi YTSP Perlis dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dana yang diraih menerusi penajaan meja dan sumbangan pada malam amal itu akan disalur untuk memperluas peluang pendidikan, meningkatkan kesejahteraan komuniti serta membantu golongan memerlukan.

Penganjuran majlis itu turut menjadi platform menghimpunkan golongan dermawan, sektor korporat dan rakan strategik bagi memperluas jaringan kerjasama serta menggalakkan penyertaan lebih banyak pihak dalam usaha pembangunan sosioekonomi rakyat Perlis.

Acara berkenaan diadakan sempena Festival Fesyen Islam 2026 bagi meraikan ulang tahun ke-20 penganjurannya yang mengangkat tema “Peranakan: The Golden Era”.

Festival itu menghimpunkan 30 pereka fesyen dari Malaysia dan Indonesia untuk mengetengahkan keindahan busana sopan serta keunikan warisan budaya serantau dengan YTSP Perlis bertindak sebagai antara tujuh rakan penganjur bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news