syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Filem arahan Shamyl Othman, Khadam muncul karya paling cemerlang pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) apabila mendominasi malam kemuncak dengan meraih kemenangan dalam sembilan kategori.
Baca juga: FFM 35: Ogy dedikasi anugerah buat ibu
Kejayaan besar naskhah itu merangkumi anugerah berprestij Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik yang dimenangi Shamyl sendiri, selain mengungguli beberapa kategori teknikal serta lakonan.
Teraju utama filem itu, Aghniny Haque juga turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Khas Juri.
Turut mencuri tumpuan ialah filem Badak yang membawa pulang tiga trofi keseluruhan, sekali gus menyapu bersih kategori lakonan utama apabila Shaheizy Sam dan Aida Amron masing-masing dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik serta Pelakon Wanita Terbaik.
Filem berkenaan turut menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Khas Juri (Filem).
Sementara itu, filem aksi Tarung: Unforgiven pula meraih dua kemenangan iaitu bagi kategori Pelakon Lelaki Harapan dan Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik.
Tiga lagi karya turut mencatatkan dua kemenangan masing-masing iaitu Macai, Malam Terlarang dan The Waves Will Carry Us.
Dalam pada itu, filem animasi, Papa Zola The Movie tidak pulang dengan tangan kosong apabila merangkul Anugerah Khas Filem Box Office di samping satu lagi kemenangan kategori lain.
Enam lagi filem yang masing-masing meraih satu kemenangan pada edisi kali ini ialah Abah Saya Uncle Mike, Gayong 2, Mother Bhumi, Blues, Cekal: Kisah Bonnie Bunyau Gustin dan Salted Fish (Ikan Masin).
Buat julung kalinya, Anugerah Khas Sepanjang Zaman diberikan kepada dua figura tersohor industri perfileman tanah air, iaitu Ahmad Yatim dan Fauziah Ahmad Daud sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan serta legasi mereka dalam industri seni dan perfileman negara.
Sementara itu, Panchacharam P Nalliah (Pansha) menerima Anugerah Khas Karyawan atas sumbangannya kepada industri perfileman tempatan.
Mengangkat tema Spektrum Sinema, Malam Anugerah FFM35 disiarkan secara langsung menerusi TV2, Radio Televisyen Malaysia (RTM) selaku rakan penyiar rasmi.
Tema ini meraikan kepelbagaian genre, budaya, bahasa, perspektif, teknologidan generasi pembikin filem yang bersama-sama membentuk landskap sinema Malaysia.
Penganjuran Malam Anugerah FFM35 turut mencatat sejarah tersendiri apabila buatpertama kalinya Istana Budaya dipilih sebagai lokasi utama penganjuran Festival Filem Malaysia.
Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Datuk Bahria Mohd Tamil; Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.
© New Straits Times Press (M) Bhd