LATEST

Cadangan penempatan semula pelarian Rohingya di Turkiye masih diselaras

Cadangan penempatan semula pelarian Rohingya di Turkiye masih diselaras

KUALA LUMPUR – Malaysia kekal komited untuk meneruskan cadangan penempatan semula pelarian Rohingya di Turkiye di bawah program latihan kemahiran berstruktur meskipun inisiatif itu masih memerlukan penjelasan lanjut dan penyelarasan dengan pihak berkaitan.Setiausaha akhbar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Shuhaimi Mohamed berkata, kenyataan awal mengenai cadangan inisiatif itu dikeluarkan kerana usaha ke arah pelaksanaannya sedang dijalankan dengan matlamat utama untuk menjaga kepentingan negara dan rakyat.Beliau berkata, beberapa perkara masih memerlukan penjelasan lanjut dan penyelarasan dengan pihak berkaitan sebelum cadangan itu diteruskan.”Kami kekal komited untuk meneruskan cadangan ini, dan pengumuman lanjut akan dibuat setelah proses yang diperlukan selesai.”Insya-ALLAH, kami akan maklumkan perkembangan lanjut dalam masa terdekat,” katanya menerusi hantaran di Threads.Penjelasan itu susulan hantaran Ahmad Zahid di Facebook yang mengumumkan cadangan inisiatif berkenaan sebelum ia dipadamkan sekali gus menarik perhatian orang ramai kepada status rancangan tersebut.Pada Jumaat, Ahmad Zahid berkata, sebanyak 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia akan ditempatkan semula di Turkiye melalui program latihan kemahiran berstruktur sebagai sebahagian daripada usaha strategik kerajaan bagi menangani kehadiran kumpulan etnik itu di negara ini dengan cara yang lebih teratur, berkesan dan berperikemanusiaan.  Beliau berkata, pendekatan itu bukan sekadar menghantar pelarian Rohingya ke negara ketiga kerana ia memberi mereka peluang untuk membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan. – Bernama    

Latest news