LATEST

Dr Akmal cadang MCA tanding kerusi bandar sahaja pada pilihan raya akan datang

Dr Akmal cadang MCA tanding kerusi bandar sahaja pada pilihan raya akan datang

nuratikah@bh.com.my

Kuala Lumpur: MCA disaran menumpukan pertandingan di kerusi bandar, manakala kerusi majoriti Melayu diserahkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) lain pada pilihan raya akan datang.

Baca juga: Carolan belum puas hati selepas bedal Kanada

Cadangan itu dikemukakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, sebagai reaksi terhadap pendirian Pemuda MCA yang menggesa kerajaan menghidupkan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, pendirian Pemuda MCA berhubung pelaksanaan pilihan raya PBT itu tidak mewakili pendirian Pemuda UMNO mahupun Pemuda BN.

“Saya ingin mencadangkan kepada MCA supaya selepas ini MCA bertanding di kawasan bandar sahaja dan kawasan majoriti Melayu boleh diserahkan kepada parti komponen lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon menggesa kerajaan menghidupkan semula pilihan raya PBT, bermula di Wilayah Persekutuan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA.

Beliau berkata, pilihan raya berkenaan akan memberi peluang kepada penduduk memilih wakil mereka sendiri, sebagaimana pengundi di negeri lain memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pilihan raya PBT pernah diadakan sebelum ia digantung pada 1965, susulan pengisytiharan darurat berikutan Konfrontasi Indonesia-Malaysia, sebelum dimansuhkan secara berkesan pada 1966.

UMNO sebelum ini berulang kali membantah cadangan menghidupkan semula pilihan raya PBT atas alasan ia akan meningkatkan beban kewangan pembayar cukai, selain dikhuatiri memperluas polarisasi kaum.

Parti itu turut berpandangan fungsi yang diperlukan berhubung perkara itu, sudah dilaksanakan oleh DUN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news