LATEST
National

FFM35: Khadam bolot 10 trofi termasuk Filem Terbaik

FFM35: Khadam bolot 10 trofi termasuk Filem Terbaik

KUALA LUMPUR: Filem Khadam membolot 10 trofi termasuk Filem Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 di Istana Budaya di sini, malam tadi.

Baca juga: Polis kesan pemandu Proton Satria kuning langgar wanita di Hulu Langat, video kejadian turut tular

Kejayaan itu turut melayakkan filem terbitan Red Communications Sdn Bhd dan Komet Productions Sdn Bhd berkenaan menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.

Khadam menewaskan empat filem lain yang turut bersaing dalam kategori berkenaan iaitu Malam Terlarang, Mother Bhumi, Macai dan Abah Saya Uncle Mike.

Trofi Filem Terbaik disampaikan Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil kepada pengarahnya, Shamyl Othman.

Turut mengiringi penyampaian trofi ialah Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah; Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib.

Kemenangan itu turut menyaksikan Shamyl mengulangi kejayaan bapanya, Othman Hafsham, apabila membawa pulang trofi Pengarah Terbaik. Othman Hafsham pernah memenangi kategori sama menerusi filem Mekanik dan Rahsia.

Selain dua anugerah utama itu, Khadam turut meraih trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi lakonan Ezarra Nurzhaffira atau Zarra Zhaff, Anugerah Khas Juri menerusi Aghniny Haque, Lakon Layar Terbaik, Tatarias/Solekan Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Lagu Tema Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik dan Sinematografi Terbaik.

Malam kemuncak FFM 35 turut menyaksikan filem Badak membawa pulang trofi Pelakon Lelaki Terbaik menerusi Shaheizy Sam dan Pelakon Wanita Terbaik yang dimenangi Aida Amron, selain Anugerah Khas Juri.

Sementara itu, trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menjadi milik Kuben Mahadevan menerusi lakonannya dalam filem Macai.

Mierul Aiman pula dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Harapan menerusi filem Tarung: Unforgiven, manakala trofi Pelakon Wanita Harapan dimenangi Aila Azizul menerusi filem Malam Terlarang.

Trofi Pelakon Kanak-kanak Terbaik menjadi milik Jordan Kuan menerusi filem The Waves Will Carry Us.

Anugerah Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik pula dimenangi Defenderz Action Team menerusi filem Tarung: Unforgiven.

Anugerah Khas Filem Box Office menjadi milik Papa Zola The Movie terbitan Monsta Sdn Bhd yang mencatat kutipan pecah panggung lebih RM68.2 juta.

Anugerah Khas Karyawan pula diberikan kepada Panchacharam Nalliah atau Pansha yang juga Presiden Penerbit Filem Malaysia (PFM).

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar kepada dunia seni tanah air, seniman veteran Ahmad Yatim atau nama sebenarnya Mohd Yatim Talib turut menerima Anugerah Khas Sepanjang Zaman.

Pengiktirafan sama turut diberikan kepada anak seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan seniwati Allahyarham Datin Saadiah, Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali sebagai Ogy.

Pemenang 28 kategori masing-masing menerima wang tunai RM5,000 berserta trofi, manakala penerima Anugerah Khas Karyawan dan Anugerah Khas Sepanjang Zaman membawa pulang wang tunai RM10,000 serta trofi.

Bertemakan Spektrum Sinema, FFM 35 disiarkan secara langsung menerusi TV2 RTM dan saluran YouTube rasmi FINAS bermula jam 8.30 malam, dengan Datuk Afdlin Shauki dan Amelia Henderson bertindak sebagai pengacara.

Sebanyak 73 karya dipertandingkan pada edisi kali ini, merangkumi 39 filem cereka, 17 dokumentari dan 17 filem pendek.

Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan Alpha, Kaka Azraff dan Gerhana Ska Cinta.

Antara selebriti yang diberi penghormatan menyampaikan trofi ialah Datuk Yusof Haslam, Datuk Aznil Nawawi, Datin Seri Tiara Jacquelina, Datuk Fauziah Nawi, Sabri Yunus, Shaheizy Sam, Sharifah Amani, Amy Mastura, Aqasha, Mila Mohsin, Aisha Retno, Trisha Ooi, Zarif Ghazzi, Evertts Gomes, Mierul Aiman, Kavitha Sidhu, Ummi Anzeera, Beto Kusyairy dan Aedan.


KEPUTUSAN PENUH FFM 35

Filem Terbaik: Khadam

Pengarah Terbaik: Shamyl Othman

Pelakon Lelaki Terbaik: Shaheizy Sam – Badak

Pelakon Wanita Terbaik: Aida Amron – Badak

Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Kuben Mahadevan – Macai

Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Ezarra Nurzhaffira atau Zarra Zhaff – Khadam

Pelakon Lelaki Harapan: Mierul Aiman – Tarung: Unforgiven

Pelakon Wanita Harapan: Aila Azizul – Malam Terlarang

Pengarah Harapan: Ezrie Gazali – Abah Saya Uncle Mike

Pelakon Kanak-kanak Terbaik: Jordan Kuan – The Waves Will Carry Us

Lakon Layar Terbaik: Fariza Azlina Isahak – Khadam

Cerita Asal Terbaik: Sun-J Perumal dan Sivanantham Perianan – Macai

Penyunting Terbaik: Soo Mun Thye – The Waves Will Carry Us

Sinematografi Terbaik: Haris Hue – Khadam

Lagu Tema Terbaik: Tak Berlagu – Ernie Zakri (ciptaan NJWA dan Rendra Zawawi, lirik oleh NJWA)

Skor Muzik Terbaik: Rendra Zawawi – Khadam

Penataan Bunyi Terbaik: Soo Yuen Yiet – Khadam

Penataan Seni Terbaik: Soon Yong Chow – Mother Bhumi

Rekaan Kostum/Busana Terbaik: Aida Fitri Buyong – Gayong 2

Tatarias/Solekan Terbaik: Jessie Yeow – Khadam

Kesan Khas Visual Terbaik: Ameen Mustajab – Malam Terlarang

Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik: Defenderz Action Team – Tarung: Unforgiven

Poster Terbaik: Skyzen Studios – Blues

Filem Pendek Terbaik: Salted Fish (Ikan Masin) – Kapsul Studio Sdn Bhd

Dokumentari Terbaik: Cekal: Kisah Bonnie Bunyau Gustin – Kayu Malam Productions Sdn Bhd

Anugerah Filem Box Office: Papa Zola The Movie – Monsta Sdn Bhd

Anugerah Khas Karyawan FFM 35: Panchacharam Nalliah (Pansha)

Anugerah Khas Sepanjang Zaman 1: Ahmad Yatim

Anugerah Khas Sepanjang Zaman 2: Fauziah Ahmad Daud

Anugerah Khas Juri 1: Aghniny Haque – Khadam

Anugerah Khas Juri 2: Filem Badak

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news