LATEST
National

Sokong pilihan raya PBT, Akmal cadang MCA tumpu bandar, usah lagi tanding kawasan Melayu

Sokong pilihan raya PBT, Akmal cadang MCA tumpu bandar, usah lagi tanding kawasan Melayu

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mencadangkan MCA supaya bertanding di kawasan bandar sahaja, manakala untuk kawasan majoriti Melayu diserahkan kepada parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Baca juga: YTSP Perlis santuni lebih 50,000 pelajar menerusi Program Titian Kasih Mega

Cadangan itu sebagai reaksi kepada resolusi Perhimpunan Agung Pemuda MCA yang antara lain mencadangkan supaya pengembalian pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula di Wilayah Persekutuan.

Mengulas perkara itu, Muhammad Akmal menegaskan pendirian Pemuda MCA berhubung pelaksanaan pilihan raya PBT itu tidak mewakili pendirian Pemuda UMNO mahupun Pemuda BN.

“Saya ingin mencadangkan kepada MCA supaya selepas ini MCA bertanding di kawasan bandar sahaja dan kawasan majoriti Melayu boleh diserahkan kepada parti komponen lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon menggesa kerajaan menghidupkan semula pilihan raya PBT, bermula di Wilayah Persekutuan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA.

Beliau berkata, pilihan raya berkenaan akan memberi peluang kepada penduduk memilih wakil mereka sendiri, sebagaimana pengundi di negeri lain memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan tidak mempunyai Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pilihan raya PBT pernah diadakan sebelum ia digantung pada 1965, susulan pengisytiharan darurat berikutan Konfrontasi Indonesia-Malaysia, sebelum dimansuhkan secara berkesan pada 1966.

UMNO sebelum ini berulang kali membantah cadangan menghidupkan semula pilihan raya PBT atas alasan ia akan meningkatkan beban kewangan pembayar cukai, selain dikhuatiri memperluas polarisasi kaum.

Parti itu turut berpandangan fungsi yang diperlukan berhubung perkara itu, sudah dilaksanakan oleh DUN.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news