redzuan.muharam@hmetro.com.my
Baca juga: Ogy dedikasi Anugerah Khas Sepanjang Zaman FFM35 buat arwah ibu
Batu Pahat: Ketika kebanyakan lelaki seusianya sudah berkeluarga, lain pula kisahnya dengan Azwan Satar yang sibuk dengan rutin menjaga bapa selain mencari rezeki menjual minyak wangi menerusi jualan secara langsung di media sosial.
Seawal jam 5 pagi, Azwan, 43, sudah bangun bagi menyiapkan keperluan bapanya, Satar Mohd Sahar, 88, yang tidak boleh berdikari kerana kesihatan merosot selepas patah kaki kira-kira empat tahun lalu.
Anak kesembilan daripada 10 beradik dari Parit Sulong, di sini berkata, dia juga yang membantu menyiapkan makanan dan melakukan kerja rumah termasuk mencuci pakaian
Berkongsi kisah itu, Azwan yang juga bekas peserta Akademi Fantasia (AF) 2014 mengakui tanggungjawab digalas tidak mudah kerana menuntut kesabaran dan kekuatan daripada segi mental juga fizikal.
“Waktu mula dulu, ada saja benda yang buat saya cepat marah sebab ayah sudah tidak boleh berjalan.
“Jadi kena membantunya dalam banyak perkara dan cakap memang senang, hakikatnya menguji kesabaran malah hanya yang menjaga orang sakit memahaminya.
“Nak lepaskan kemarahan dekat ayah tak boleh kerana berdosa jadi kena tahan emosi. Tapi lama-kelamaan, saya boleh sesuaikan diri dan hilangkan tekanan dengan cari masa untuk diri sendiri misalnya dengan pergi berjoging atau mendaki.
“Adik beradik yang lain faham malah mereka juga membantu walaupun tak tinggal bersama,” katanya kepada Harian Metro.
Di sebalik cabaran dilalui, Azwan berkata, dia tidak pernah berasa terbeban jauh sekali menyesali jalan dipilih termasuk dengan hidup membujang.
Ia kerana Azwan sedar bapanya lebih memerlukan perhatian dan itu yang penting berbanding keinginannya.
“Ikutkan hati memang nak kahwin tapi jika berumah tangga, saya kena menjaga hati isteri dan juga ayah.
“Jadi biarlah saya hidup sendiri buat masa ini. Insya-Allah kalau ada jodoh tak ke mana tapi bapa hanya satu dan tiada pengganti.
“Sebelum ini, saya pernah kehilangan emak yang meninggal di atas pangkuan saya. Saya pun sempat suap emak makan sebelum emak pergi buat selamanya setengah jam kemudian.
“Sekarang masa untuk saya berbakti kepada ayah pula dan percaya ada rezeki menjaga orang tua. Selagi panjang umur, saya akan menjaga ayah dan semoga ia menjadi tiket untuk ke syurga nanti,” katanya yang tidak boleh membayangkan bagaimana kehidupan tanpa bapanya kerana jarang berenggang dan menghabiskan masa bersama.
Menyentuh hala tujunya dalam dunia seni, Azwan berkata, minat menyanyi masih belum pudar malah dia masih menerima tawaran membuat persembahan.
Azwan juga pernah terfikir untuk menetap di Kuala Lumpur namun menetap di kampung demi menunaikan tanggungjawab sebagai anak.
“Jujurnya memang ada keinginan untuk kembali aktif menyanyi terutama selepas melihat rakan AF lain menyertai Gegar Vaganza Fantasia (GV Fantasia).
“Sebenarnya tiada masalah pun cuma kena berbincang dengan adik beradik untuk bantu jaga ayah sekiranya di luar kawasan.
“Semoga ada peluang untuk saya cuma tak pasti bila waktunya bagi membuat kemunculan semula,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd