LATEST

Man City hampir diaib Fulham

Man City hampir diaib Fulham

Manchester: Manchester City berjaya mengelak daripada mengalami kekalahan keempat berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), namun terus kehilangan mata selepas terpaksa bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri 1-1 menentang Fulham di laman sendiri, sebentar tadi.

Baca juga: KRW akhirnya tamat kemarau kemenangan

Penyudah kemas yang dilakukan Rodrigo Muniz hasil hantaran bekas pemain City, Oscar Bobb meletakkan Fulham di depan pada minit ke-16.

Erling Haaland menyangka dia berjaya menyamakan kedudukan, namun jaringannya dibatalkan video bantuan pengadil (VAR) lapan minit kemudian selepas didapati menendang bola di tangan penjaga gol Fulham, Bernd Leno.

City bergelut untuk mendapatkan gol penyamaan sebelum Elliott Anderson akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-57 menerusi voli menarik yang menembusi celah-celah pemain sebelum menerjah penjuru bawah gawang.

Ia adalah gol liga pertamanya sejak menyertai City dari Nottingham Forest.

Kedua-dua pasukan berpeluang meraih kemenangan selepas itu, dengan percubaan Muniz dinafikan penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma.

Bagaimanapun, Fulham layak mendapat keputusan seri yang menamatkan rentetan 20 kekalahan berturut-turut mereka kepada City.

Keputusan itu menyaksikan City kekal di tangga ketiga, lima mata di belakang juara bertahan, Arsenal, yang berpeluang melebarkan jurang kepada lapan mata di puncak liga sekiranya menewaskan Newcastle United.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news