STAR City FC mencipta kejutan apabila mengikat Melaka FC 2-2 dalam aksi Liga Super 2026/2027, sekali gus berkongsi satu mata dengan pasukan tuan rumah di Stadium Hang Jebat, Krubong, Melaka malam ini.Keputusan itu menyaksikan kedudukan skuad Star City melonjak ke tangga ketujuh dengan enam mata manakala Melaka yang mengumpul 10 mata di tangga keenam selepas tujuh perlawanan musim ini. Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Jafri Firdaus Chew yang melepaskan rembatan dari sebelah kiri untuk menewaskan penjaga gol pasukan pelawat Muhammad Farhan Abdul Majid.Memasuki babak kedua, Star City FC berjaya menyamakan kedudukan menerusi tandukan Pedro Henrique Oliveira da Silva pada minit ke-55 selepas menerima hantaran Douglas Felisbino de Oliveira.Melaka FC bagaimanapun menggandakan kedudukan lima minit kemudian apabila Noel Abgre menyudahkan hantaran Pak Kwangil untuk menghasilkan gol kedua tuan rumah.Kegembiraan skuad tuan rumah tidak kekal lama apabila Star City FC kembali mengikat kedudukan 2-2 apabila Douglas Felisbino menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-68 yang gagal diselamatkan Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.Sepakan penalti itu diberikan selepas Douglas dijatuhkan Dino Kalesic di dalam kotak penalti dan keputusan 2-2 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.Sementara itu, aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan menyaksikan Kelantan Red Warrior FC (KRWFC) bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Sabah FC 2-1. Sabah FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-31 menerusi tandukan Jose Martin yang menyempurnakan hantaran daripada sepakan percuma rakan sepasukannya di dalam kotak penalti tuan rumah.Selepas ketinggalan pada babak pertama, KRWFC meningkatkan tekanan sebaik sahaja permainan bersambung dengan melakukan lebih banyak asakan ke kawasan pertahanan pelawat bagi memburu gol penyamaan.Usaha tuan rumah membuahkan hasil pada minit ke-71 apabila pemain gantian Rizuan Muda meledakkan gol penyamaan menerusi rembatan dari dalam kotak penalti.KRWFC kemudian melengkapkan kebangkitan pada minit ke-84 menerusi rembatan Mbarga dari dalam kotak penalti untuk memastikan kemenangan 2-1.Kemenangan itu membolehkan KRWFC mengutip tiga mata pertama selepas mengharungi tujuh perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini. – Bernama
Star City ikat Melaka 2-2, KRWFC bangkit tewaskan Sabah 2-1
Malay News | https://www.malay.news/star-city-ikat-melaka-2-2-krwfc-bangkit-tewaskan-sabah-2-1/