LATEST

Ogy dedikasi Anugerah Khas Sepanjang Zaman FFM35 buat arwah ibu

Ogy dedikasi Anugerah Khas Sepanjang Zaman FFM35 buat arwah ibu

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Primadona layar perak, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy, mendedikasikan Anugerah Khas Sepanjang Zaman yang diterimanya pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), malam ini, kepada arwah ibunya, seniwati Allahyarham Saadiah yang menjadi insan pertama mengesan bakat seni dalam dirinya.

Baca juga: Sam dan Aida Pelakon Terbaik FFM35, Sam belanja 100 piza percuma

Ogy, 64, turut menyifatkan kedua-dua ibu bapanya, Allahyarham Saadiah dan seniman legenda Allahyarham Ahmad Daud sebagai tunjang utama di sebalik kejayaan serta ketahanannya dalam bidang lakonan hingga hari ini.

Membawa pulang trofi berserta wang tunai RM10,000, pelakon filem Azura itu mengakui pengiktirafan berprestij berkenaan amat menyentuh jiwa kerana diraih selepas lebih lima dekad mengabdikan diri sebagai anak seni.

“Mak, Fauziah dapat ini mak kerana mak. Tanpa doa restu dan didikan mereka berdua, saya tidak akan berada di sini.

“Lebih lima dekad saya berada sebagai seorang kembara dalam seni ini tanpa sekelumit minat pun. Saya pernah bertanya pada diri sendiri, kenapa saya? Jawapan yang saya dapat adalah ini rahsia Tuhan.

“Tuhan sudah menggerakkan mata arwah mak saya untuk melihat bakat yang ada dalam diri saya, sedangkan saya sendiri buta,” katanya penuh sebak.

Tambah Ogy, ibunya juga memainkan peranan cukup besar dalam mencorakkan perjalanan seninya apabila sentiasa mendorong dia menimba ilmu daripada barisan guru yang hebat.

Justeru, dia menyifatkan trofi yang digenggam itu bukanlah milik peribadinya semata-mata, sebaliknya merupakan penghormatan buat seluruh warga kerja yang pernah menyumbang kepada kerjayanya.

“Trofi ini bukan milik saya sahaja tetapi juga kepada semua guru, penerbit, penulis, pengarah, kru di belakang tabir dan orang yang selalu memberikan saya teh ais sebelum melangkah masuk ke set.

“Tidak dilupakan rakan seperjuangan seperti Datuk Fauziah Nawi, Seniman Sabri Yunus serta semua pelakon yang sudi berkongsi nafas dan kolam rasa bersama saya di set mahupun di pentas,” ujarnya.

Dalam masa sama, Ogy turut menitipkan pesanan bermakna buat generasi pelapis agar tidak terlalu taksub mengejar populariti memandangkan kegemilangan dalam dunia hiburan hanyalah bersifat sementara.

Tegasnya, kejujuran jiwa dalam berkarya serta disiplin yang tinggi merupakan kunci utama yang mampu memastikan nama seseorang anak seni terus dihormati dan dikenang sepanjang zaman.

“Gemilang populariti itu hanya sementara. Rupa dan wajah kita akan dimamah usia. Tetapi dengan kejujuran jiwa dan disiplin, nama anda akan terus hidup selamanya.

“Nyalakan terus obor seni anda untuk generasi akan datang dengan kejujuran kerana seni tidak pernah berdusta,” pesannya.

Ogy turut menzahirkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada adik-beradik, anak kesayangannya Nur Aminah Aishah, seluruh ahli keluarga serta peminat setia yang tidak pernah putus mengirimkan doa buat dirinya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news