Johor Bahru: Perkhidmatan kardiotorasik Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini tidak terjejas dan berjalan seperti biasa, susulan peletakan jawatan Ketua Jabatannya, Isnin lalu.
Baca juga: Man City hampir diaib Fulham
Pengarah HSA Dr Mohamad Nizam Subahir berkata, perkhidmatan itu terus dilaksanakan oleh pasukan sedia ada mengikut keperluan klinikal yang ditetapkan.
“Pihak hospital menghormati keputusan beliau dan merakamkan penghargaan atas sumbangan serta komitmen yang telah diberikan. Bagaimanapun, peletakan jawatan tersebut tidak menjejaskan kesinambungan perkhidmatan kardiotorasik kepada pesakit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Mohamad Nizam berkata, pihak pengurusan hospital turut mengambil maklum mengenai dakwaan berkaitan isu membabitkan pengoperasian dan keperluan tenaga manusia bagi perkhidmatan itu di fasiliti berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara itu dan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan sumber manusia bagi memastikan kelangsungan serta keberkesanan perkhidmatan.
“(Pada masa sama), usaha penambahbaikan dan pengukuhan sedang dilaksanakan secara berperingkat melalui perbincangan serta penyelarasan bersama pihak-pihak berkaitan.
“Sebarang keputusan berkaitan pengoperasian, penyusunan tenaga manusia dan perkhidmatan kardiotorasik dibuat berdasarkan perbincangan serta pertimbangan secara kolektif,” katanya.
Semalam, sebuah portal melaporkan seorang doktor meletakkan jawatan sebagai Ketua Perkhidmatan Kardiotorasik Johor dan kepakaran kardiotorasik Zon Selatan, selain Ketua Jabatan Bedah Kardiotorasik di hospital itu.
Peletakan jawatan itu dibuat dalam dua surat berasingan kepada Pengarah Kesihatan Johor Dr Mohtar Pungut dan Pengarah HSA, Isnin lepas berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, doktor berkenaan masih kekal berkhidmat sebagai Pakar Perunding Bedah Kardiotorasik di HSA.
© New Straits Times Press (M) Bhd