suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Peletakan jawatan Menteri Kabinet sering menimbulkan persoalan mengenai kuasa Perdana Menteri (PM) dan Yang di-Pertuan Agong, terutama apabila berlaku perbezaan pendirian berhubung keputusan berkenaan.
Baca juga: Jelmaan Bale cetus sensasi Spurs
Persoalannya, adakah seseorang Menteri memerlukan persetujuan Perdana Menteri atau perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk meletakkan jawatan? Bagaimana pula kedudukan Menteri sekiranya keputusan itu berkuat kuasa serta-merta?
Pakar Perlembagaan, PROF MADYA DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN berkata, Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan memberikan hak kepada seseorang Menteri untuk meletakkan jawatan tanpa memerlukan persetujuan Perdana Menteri.
Ikuti kupasan beliau dalam Kafe Ahad bersama wartawan SUHARMIN YUSUF minggu ini.
Apakah prosedur sebenar peletakan jawatan menteri Kabinet mengikut Perlembagaan Persekutuan?
Perlembagaan Persekutuan menetapkan menteri boleh meletakkan jawatan dan peletakan itu tidak tersyarat dengan persetujuan Perdana Menteri (PM) mahupun Yang di-Pertuan Agong (YDPA), tetapi memberikan kelonggaran bagaimana peletakan jawatan itu disampaikan kepada YDPA.
Sembah maklum kepada YDPA mustahak kerana menteri dilantik oleh YDPA, maka tertib mesti ada sesuai dengan adat tempatan kita.
Perkara 43(5) memperuntukkan bahawa Menteri selain PM memegang jawatan selama diperkenankan oleh YDPA, “tetapi mana-mana menteri boleh meletakkan jawatannya.” Ia bermaksud jika YDPA tidak berkenan dengan mana-mana menteri, baginda berhak mendapatkan nasihat PM untuk membatalkan pelantikan seorang menteri itu.
Suatu peletakan jawatan mesti dipersembahkan kepada YDPA kerana Jemaah Menteri termasuk PM melaksanakan fungsi kuasa eksekutif YDPA. Jemaah Menteri ialah syura baginda dalam sistem kedaulatan raja dan keluhuran Perlembagaan.
Dari segi amalan, menteri boleh menyerahkan surat menyatakan tarikh kuat kuasa kepada PM sebagai saluran. PM kemudian menyembah maklum kepada YDPA. Pemberitahuan dalam warta pula hanya proses pentadbiran. Kaedah penyerahan surat itu ialah soal tatacara dan adab.
Bolehkah menteri meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta tanpa persetujuan PM?
Menteri boleh meletakkan jawatan kerana ia adalah hak menteri sendiri. Beliau tidak dilantik oleh PM, walaupun dari sudut syarat, YDPA bertindak mengikut nasihat PM serta tertakluk kepada syarat kelayakan seorang calon menteri.
Seseorang tidak boleh dipaksa terus memikul sesuatu jawatan di luar kerelaannya, melainkan Perlembagaan memperuntukkan sebaliknya. Ini kerana terdapat prinsip pertanggungjawaban bersama bagi ahli Jemaah Menteri. PM hanya boleh memujuk menteri menarik balik keputusannya sebelum ia berkuat kuasa.
Apakah peranan PM dalam menentukan status peletakan jawatan menteri?
Perdana Menteri berperanan sebagai saluran dan penasihat, bukan penentu status. Tugas beliau ialah menyembah maklum kepada YDPA, menguruskan peralihan pentadbiran serta menasihati YDPA tentang pengganti atau penyerahan fungsi kementerian kepada Menteri lain.
Perkataan “terima” atau “tolak” tidak terdapat dalam Perkara 43(5). Jika Menteri menyerahkan penentuan tarikh kuat kuasa kepada PM, itu pilihan menteri sendiri, bukan kuasa perlembagaan PM.
Adakah peletakan jawatan Menteri memerlukan perkenan YDPA dan bilakah seseorang Menteri dianggap secara rasmi tidak lagi memegang jawatan?
Tidak. Perkenan YDPA menentukan tempoh Menteri terus memegang jawatan dan pembatalan pelantikannya. Namun, Perkara 43(5) sendiri membataskan perkenan itu dengan memberi menteri hak untuk meletakkan jawatan.
YDPA wajib dimaklumkan sebagai pihak yang melantik. Pemakluman itu ialah adab dan kewajipan perlembagaan, bukan syarat sah peletakan jawatan.
Menteri dianggap tidak lagi memegang jawatan pada tarikh kuat kuasa yang dinyatakan, setelah keputusannya dikomunikasikan. Jika dinyatakan “serta-merta”, peletakan jawatan berkuat kuasa sebaik sahaja dikomunikasikan.
Warta hanya mengisytiharkan peletakan jawatan itu secara pentadbiran, ia tidak mewujudkan kesannya.
Apakah implikasinya jika menteri dan PM berbeza pendirian mengenai tarikh kuat kuasa?
Keputusan menteri untuk meletakkan jawatan perlu dihormati dan PM tidak boleh memaksanya terus memegang jawatan tanpa kerelaannya.
Bekas menteri tidak boleh melaksanakan kuasa jawatan selepas tarikh kuat kuasa. Beliau tidak boleh melaksanakan sebarang tugas atau kuasa jawatan itu. Tindakan rasmi yang dibuat selepas tarikh tersebut boleh dipertikaikan kesahannya. Tanggungjawab bersama juga tergugat.
Menteri yang telah menarik diri secara terbuka tidak lagi terikat dengan tanggungjawab bersama Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(3). Ini antara sebab seorang menteri tidak boleh dinafikan haknya untuk meletakkan jawatan.
Jika PM lambat bertindak, kekosongan itu bukan kerana menteri masih memegang jawatan. PM wajar segera menasihati YDPA untuk melantik pengganti atau menyerahkan fungsi kementerian kepada menteri lain di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.
Susunan ini menghormati hak menteri dan juga kedudukan YDPA sebagai sumber kuasa pelantikan mengikut Perlembagaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd