LATEST

PERHILITAN pasang kamera perangkap susulan aduan harimau kumbang dekat kawasan perumahan

PERHILITAN pasang kamera perangkap susulan aduan harimau kumbang dekat kawasan perumahan

am@hmetro.com.my

Seremban: Penduduk di sekitar taman perumahan Laman Sendayan, di sini, bimbang susulan dakwaan kemunculan seekor harimau kumbang di kawasan berkenaan.

Baca juga: Infantino dapat sokongan padu CAF

Satu gambar dipercayai menunjukkan seekor haiwan itu yang agak besar, tular di media sosial dan meminta orang ramai terutama penduduk di kawasan perumahan berkenaan supaya berhati-hati.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tarikh dan waktu sebenar kejadian, namun difahamkan satu laporan sudah dibuat kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) susulan gambar tular itu, petang ini.

Pengarah PERHILITAN Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun berkata, susulan aduan yang diterima pihaknya, satu pasukan dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Aduan petang tadi ini dalam siasatan pihak kami dan PERHILITAN juga sudah memasang kamera perangkap di lokasi yang dikenal pasti bagi memastikan aduan yang dibuat ini berasas.

“Bagaimanapun, hasil siasatan awal mendapati, kawasan harimau berkenaan dirakam adalah kira-kira 12 kilometer (KM) daripada Hutan Simpan Kekal Galah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan ciri-ciri morfologi pada gambar yang diambil itu, ia sah menunjukkan spesies harimau kumbang, namun belum dapat dipastikan anggaran berat dan jantinanya.

“Untuk mengetahui umur, jantina dan anggaran beratnya, ia belum dapatkan disahkan secara tetap. Pihak kami juga tidak mendapat maklumat waktu sebenar kejadian ini dirakam,” katanya.

Justeru beliau berkata, orang ramai diminta supaya berada dalam keadaan berwaspada dengan keadaan sekitar dan tidak membiarkan kanak-kanak bermain di luar rumah.

“Pihak kami akan memantau kawasan kejadian ini dan sekitar secara berterusan dan melihat kamera perangkap dapat merakam kehadiran hidupan ini untuk tindakan susulan.

“Hati-hati jika terserempak dengan harimau kumbang, jangan lakukan provokasi atau bertindak sendiri. Hubungi PERHILITAN untuk tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news